Categories
NASIONAL

MH17: Pendakwaan dibuat di Belanda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Malaysia, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju meneruskan proses pendakwaan bagi kes Malaysia Airlines MH17 di Belanda.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua proses akuantabiliti dilaksanakan secara berkesan mengikut piawaian tertinggi antarabangsa.

Katanya, Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda akan membuat keputusan berkenaan pendakwaan pada waktu sesuai memandangkan proses siasatan masih dijalankan.

“Perbicaraan akan dilaksanakan mengikut prosiding mahkamah jenayah Belanda berdasarkan undang-undang jenayah yang juga membenarkan waris mangsa memerhati dan terlibat dalam prosiding mahkamah.

“Tambahan lagi, Belanda mempunyai kerjasama undang-undang dengan banyak negara bagi tujuan bantuan perundangan serta ekstradisi, berdasarkan kerjasama multilateral juga bilateral,” katanya dalam kenyataan.

MH17 Pada masa sama, Tiong Lai turut mengesahkan kerjasama dengan penyiasat akan diteruskan semasa fasa pendakwaan.

“Keputusan ini meningkatkan azam Malaysia untuk mendapatkan keadilan dan mahukan pihak yang bertangungjawab tidak terlepas serta dihukum,” katanya.

Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di kawasan bergolak di timur Ukraine menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Ukraine menuduh Rusia terlibat dalam tragedi itu tetapi Moscow menafikan dakwaan terbabit serta menyifatkan siasatan antarabangsa berat sebelah dan bermotifkan politik.

Siasatan dilaksanakan bersama oleh kerajaan Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

Sehingga kini, pihak pendakwa berkata, mereka menyiasat kira-kira 100 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan senjata digunakan bagi menembak pesawat itu.