Categories
SELANGOR

Umno-BN ajar penduduk budaya subsidi dan ‘semua percuma’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pangsapuri Seri Perantau sewajarnya menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi melancarkan segala urusan berkaitan, selaras Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah melantik ejen pengurusan bagi mengatasi kelemahan pengurusan di pangsapuri itu.

Katanya, ia juga bertujuan melancarkan proses peralihan pengurusan kepada JMB supaya menjadi lebih teratur dan lancar.

“Ejen pengurusan dilantik membantu Kerajaan Negeri memberi fakta tepat berkenaan permasalahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau.

“Berdasarkan fakta itu, Kerajaan Negeri mengadakan pelbagai program memberi pendidikan dan kefahaman kepada penduduk berkenaan tanggungjawab membayar caj, keupayaan pengurusan berdasarkan hasil kutipan caj sedia ada, penjagaan harta bersama serta peranan dan kelebihan penubuhan JMB,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, langkah ‘mendidik’ sangat penting kerana Kerajaan Negeri sentiasa menekankan keperluan pembangunan komuniti bestari untuk jangka masa panjang, walaupun ia tidak popular dan ‘tidak nampak’.

ISKANDAR SAMAD“Ini kerana, Kerajaan Negeri sudah melahirkan beberapa JMB pangsapuri kos rendah yang berjaya, malah pengurusannya lebih baik dari pangsapuri kos sederhana dan tinggi.

“Punca utama kegagalan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau kerana Kerajaan Negeri terdahulu hanya fokus kepada pemindahan setinggan.

“Penduduk juga dimomokkan dengan budaya subsidi atau semuanya ditangung percuma sehingga unsur pendidikan kepada budaya kehidupan berstrata dan pembentukan komuniti bestari diabaikan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Saroni mendakwa Kerajaan Negeri gagal menyelesaikan isu pangsapuri berkenaan dan mendesak Iskandar meletak jawatan.