Categories
PBT SELANGOR

MPK proaktif kawal wabak Rabies

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif bagi mengawal wabak anjing gila atau Rabies dengan mengambil tindakan berjaga-jaga selain meningkatkan tangkapan anjing liar di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, antara langkah akan diambil oleh MPK adalah pengambilan sampel darah secara rawak dari anjing berkeliaran bagi menentukan status penyakit itu.

Katanya, MPK turut akan menjalankan pemusnahan anjing berkeliaran yang menunjukkan tanda awal penyakit terbabit.

“Kita juga akan mengedarkan risalah dan memberi nasihat kepada pemilik anjing bagi mendapatkan vaksinasi haiwan mereka.

YDP MPK“Jabatan Kesihatan juga akan mendapatkan maklumat daripada doktor yang merawat pesakit yang digigit anjing,” katanya selepas mesyuarat bulanan, di sini, hari ini.

Yasid berkata, sehingga bulan ini, sejumlah 5,881 anjing berkeliaran ditangkap berbanding 8,359, pada 2016.

“Manakala, jumlah kompaun yang dikenakan kepada pemilik yang tidak mempunyai lesen sebanyak 37 dan 390 notis peringatan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, MPK meneruskan operasi menangkap anjing terbiar setiap hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa kelima jangkitan virus Rabies dari Serian, Sarawak meninggal dunia, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun itu meninggal dunia, pada jam 10.43 malam.

Sehingga 23 Julai lalu, 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di tiga kawasan terbabit dikesan dan diberikan rawatan lanjut.