Categories
SELANGOR

MPSJ tukar sisa makanan jadi 29,000 kg baja kompos

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 13 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya menghasilkan lebih 29,000 kilogram (kg) baja kompos yang diperbuat daripada sisa makanan yang dikutip di sekitar kawasan pentadbirannya.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali, berkata, secara purata MPSJ mengutip sehingga 750 kg bahan boleh kompos sehari termasuk 500 kg adalah sisa makanan.

“Kita berjaya mengutip 750kg sisa makanan atau sampah kompos ini di restoran, kantin sekolah dan lain-lain. Semua sisa boleh kompos ini diproses menjadi 250 hingga 300 kg produk akhir.

BIOMASS MPSJ“Baja kompos ini berharga RM7.50 tetapi bukanlah hasrat kita nak berniaga, jadi kebanyakkannya kita beri secara percuma. Tahun lepas sahaja sebanyak 20,000 kg dan 2015 lebih 9,000 kg,” katanya.

Mohammad Zulkurnain pada Majlis Penyampaian Tong Kompos dan Lawatan Hijau ke Pusat Biomas MPSJ 2017 di sini, semalam.

Jelasnya, pada masa ini jumlah bahan boleh kompos yang tidak dimanfaatkan amat tinggi hingga mencecah 37 peratus daripada 500 ton sehari sisa pepejal yang dihantar ke pusat pelupusan sampah.

Katanya, jumlah sampah dihantar ke pusat pelupusan boleh dikurangkan sekiranya wujud kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.