OLEH AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengutuk sekerasnya tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis dan menyifatkannya sebagai pencabulan ke atas hak umat Islam untuk beribadat yang dijamin undang-undang.
Dalam satu kenyataan bersama dibacakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PAKATAN menyatakan simpati dan solidariti terhadap umat Islam di Baitul Maqdis serta menggesa tindakan kolektif diambil segera untuk menghentikan penindasan rejim Israel.
“Dengan menghalang hak umat Islam untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel secara terang-terangan mencabuli Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 dengan Israel adalah signatori.
“Arahan penutupan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Israel dan keganasan dilakukan ke atas umat Islam yang ingin menunaikan ibadat di masjid itu adalah tindakan amat terkutuk dan mesti dihentikan segera,” katanya.
Katanya, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat, hari ini bagi mengecam tindakan rejim Israel kepada umat Islam susulan penutupan Masjid Al-Aqsa.
Selain itu, PAKATAN juga berhasrat mengadakan himpunan di Masjid Negara, pada Jumaat ini dan menyarankan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat.