Categories
SELANGOR

Pelan Tindakan Dasar Wanita Selangor fokus 7 matlamat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri akan melancarkan Pelan Tindakan Dasar Wanita Selangor bagi tempoh 2017 hingga 2020 dalam tempoh terdekat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, dasar dan pelan itu akan tertumpu kepada tujuh matlamat utama.

Katanya, ia merangkumi pembangunan gender, status sosio ekonomi wanita terpinggir, merapatkan jurang gender dan aspek pasaran buruh.

DAROYAH DNS“Selain itu, dasar dan pelan itu turut mengetengahkan penyertaan wanita dalam perwakilan dan politik serta kesihatan dan mobiliti wanita.

“Ia turut merangkumi kebebasan wanita daripada keganasan dan menzahirkan Bakat Kreatif dan Inovatif Wanita,” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Dr Daroyah berkata Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan menjadi garis panduan dan halatuju dalam merangka program memberdayakan wanita dalam semua sektor termasuklah ekonomi, pendidikan dan kerjaya.

Katanya, walaupun terdapat kemajuan disektor pendidikan dan kesihatan, namun jurang yang ketara masih wujud antara wanita dan lelaki dari segi peluang ekonomi dan penglibatan dalam kepimpinan serta pembuatan keputusan.

“Melalui peruntukan sebanyak RM9 juta, Institut Wanita Berdaya merangka pelbagai program menepati matlamat Dasar Wanita Selangor berkaitan pendidikan, kerjaya dan ekonomi.

“Antaranya adalah dengan merangka Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 serta penyediaan Geran Penyelidikan bagi kajian dan penyelidikan berkaitan isu-isu wanita, kanak-kanak dan kumpulan marginal bagi peningkatan nilai kehidupan mereka,” katanya.

daroyah-pwb-1Beliau berkata, Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan itu akan dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tanda sokongan dan dokongan terhadap hal ehwal wanita.

Pada masa sama, Dr Daroyah berkata Kerajaan Negeri akan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak perempuan untuk terlibat dalam kajian STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Sehubungan itu, satu mekanisme sokongan yang sesuai akan dikenalpasti menggalakkan minat mereka dalam bidang kritikal ini.

“Abad ini merupakan ‘abad untuk wanita’. Oleh itu, amat bertepatanlah penubuhan IWB ini dalam memartabatkan wanita dan menggilap potensi wanita khususnya di Negeri Selangor,” katanya.

Pada Mei lalu, IWB ditubuhkan bagi tujuan pemberdayaan wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya.