Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurusan kewangan jabatan dan agensi Kerajaan Selangor baik

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Jabatan Audit Negara melaporkan prestasi pengurusan kewangan bagi 16 jabatan atau agensi kewangan Selangor berada pada kedudukan baik dengan tujuh daripadanya memperoleh penilaian cemerlang.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, tujuh jabatan atau agensi lain memperoleh penilaian baik manakala dua lagi memuaskan.

“Jabatan atau agensi negeri boleh mempertingkatkan pengurusan kewangan ke tahap lebih baik jika langkah penambahbaikan diambil.

ekonomi-selangor-1“Antara langkah yang perlu diambil adalah menganjurkan program latihan berterusan kepada pegawai yang terbabit dalam pengurusan kewangan supaya dapat meningkatkan pengetahuan dan kompetensi dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2016, Perbendaharaan Negeri mendahului dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 96.88 peratus diikuti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (96.20%) dan Majlis Perbandaran Sepang (96.12%).

Dua jabatan yang memperoleh keputusan memuaskan adalah Jabatan Veterinar dengan markah 75.47 peratus dan Jabatan Agama Islam Selangor (75.36%).

Jabatan Audit Negara turut mengesyorkan supaya pembabitan ketua jabatan dipertingkatkan secara ‘hands-on’ dalam urusan berkaitan dan membuat pemeriksaan berkala dari semasa ke semasa.

Tindakan tatatertib juga perlu dikenakan terhadap pegawai yang gagal menyelia atau melaksanakan tanggungjawab masing-masing.