Categories
NASIONAL

Persempadanan semula: Kemenangan Selangor ikat keputusan mahkamah lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JULAI: Keputusan permohonan injuksi terhadap notis kedua Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memihak kepada Kerajaan Negeri, semalam dijangka mengikat keputusan mahkamah lain.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hal itu ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaras kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Saya yakin keputusan ini akan mengikat tindakan mahkamah di negeri lain kerana ini adalah kehendak perlembagaan.

“Setiap proses persempadanan terbahagi kepada tiga unit iaitu Semenanjung, Sarawak juga Sabah dan ini bermakna apabila timbul saman di mahkamah dibangkitkan mana-mana negeri dalam Semenanjung, maka ia perlu melalui proses mahkamah sepenuhnya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, SPR hanya boleh memulakan cadangan persempadanan semula selepas isu dibangkitkan itu selesai mengikut perintah mahkmah.

shamsul-iskandar-mohd-akinShamsul Iskandar turut mengulangi kenyataannya supaya SPR bertindak mengikut perlembagaan dan undang-undang serta tidak tunduk kepada penguasa politik.

Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi sama membenarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi kawasan itu memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kuala Lumpur oleh SPR.

Manakala pada Mei pula, Mahkamah Tinggi Melaka juga membenarkan permohonan oleh tujuh penduduk Melaka untuk mencabar persempadanan semula yang dijalankan SPR.