Categories
NASIONAL

Salah laku netizen dalam media sosial serius

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor mendahului senarai aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dengan 1,534 aduan, setakat Mei lalu.

Ketua Jabatan Perlindungan dan Biro Aduan Pengguna (CCB), Ratnawaty Talib berkata, ia diikuti Pahang (1,036), Johor (730), Kuala Lumpur (696) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46), Putrajaya (46) dan Perlis (36).

Katanya, aduan diterima disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, manakala untuk penipuan (spam), pengelabuan (phishing) dan pengkomplotan(scam), SKMM bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berdasarkan data dikumpul, kami merancang program jelajah pada masa akan datang ke negeri yang mencatatkan sedikit aduan seperti Perlis, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mereka tampil ke hadapan untuk melaporkan kepada SKMM,” katanya lapor Bernama.

social-media-logos-600x337Ratnawaty berkata, jumlah aduan berkenaan salah laku menggunakan media baru termasuk laman sesawang, media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram serta e-mel dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.

Katanya, lima kategori aduan teratas yang direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini adalah ancaman (753 aduan), jenayah siber (555), maklumat palsu (482) fitnah (363) dan bahan lucah (346).

“SKMM mendapati 80 peratus daripada aduan diterima adalah berkaitan kandungan di landasan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram,” katanya.

Pada 2015, SKMM mencatatkan 1,908 aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dan meningkat kepada 3,188, pada akhir 2016.

Untuk membuat aduan, orang ramai boleh hubungi SKMM menerusi portal aduannnya; complaint.cfm.org.my atau hotline nombor 1800188030, WhatsApp ke 0162206262, SMS ke 15888 atau e-mel kepada [email protected].