Categories
SELANGOR

Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor sesi kedua dibuka

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Permohonan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor (PPNS) bagi sesi kedua mula dibuka bermula 1 Ogos hingga 30 Ogos ini.

PPNS merupakan pembiayaan dalam bentuk pinjaman tanpa faedah untuk anak Selangor mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda pertama di institut pengajian tinggi awam serta swasta dalam negara.

Antara syarat am dikenakan termasuk pemohon lahir di Selangor atau ibu bapa lahir di Selangor atau pemohon sudah bermastautin lebih dari lima tahun di Selangor.

mahasiswaPermohonan terbuka kepada pengajian sepenuh masa sahaja sementara pengajian secara jarak jauh (PJJ), luar kampus (PLK), A Level, O Level, sijil profesional dan pelajar Kolej Vokasional seluruh negara adalah tidak layak memohon.

Mereka berminat boleh mengemukakan permohonan secara atas talian sahaja di portal rasmi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS), http://tkwbns.selangor.gov.my.

Pemohon mengemukakan permohonan lengkap dan layak akan disenarai pendek untuk temuduga yang dijadualkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas tarikh tutup permohonan.

Kadar pinjaman adalah RM7,000 bagi pelajar Ijazah Perubatan, Ijazah Sarjana Muda (RM6,500), Diploma (RM4,900) dan Sijil (RM4,000).

PINJAMAN PELAJARAN SELANGORPada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pinjaman ditawarkan Kerajaan Negeri itu berpeluang bertukar ke biasiswa.

“Untuk pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (Cumulative Grade Point Average-CGPA) sekurang-kurangnya 3.25, maka mereka layak menerima separa biasiswa.

“Untuk pelajar dengan CGPA 3.75 pula mereka layak menerima pertukaran kepada biasiswa penuh. Tiada pengecualian, semua pelajar yang menerima pinjaman Kerajaan Negeri layak untuk ditukar kepada biasiswa penuh,” katanya.