Categories
SUKANKINI

PKNS FC berjaya cari tiga mata penting di bumi Kenyalang

KUCHING 22 JULAI: PKNS FC berjaya dalam misinya mencari tiga mata berharga apabila menumpaskan Sarawak 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Gol kemenangan PKNS FC itu hadir melalui pemain gantian, Mohd. Nizam Abu Bakar yang menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-68.

PKNS FC ternyata mempamer aksi kelas tersendiri apabila dilihat mendominasi permainan.

Bagaimanapun, Sarawak sekali sekala cuba mengimbangi lawan dengan melancarkan serangan, namun ‘penyakit lama’ tumpul di bahagian serangan seakan belum memperlihat tanda-tanda untuk pulih.

Kubu dibina Sarawak yang bertahan sejak awal saingan akhirnya roboh pada minit ke-68, apabila Mohd Nizam memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan Sarawak.

Kemenangan itu menyaksikan PKNS FC memperbaiki kedudukan dengan kini mengumpul 18 mata.

Manakala Sarawak kekal menghuni tangga ke-10 liga dengan 14 mata.

Sebelum ini Skuad Semut Merah yang hadir bagi membalas dendam kekalahan 2 – 3 pada pertemuan pertama, sedar mereka tidak boleh kalah dalam perlawanan itu.

Ketua pasukan, Mohd Fauzan Dzulkifli menegaskan pemain berada pada tahap terbaik serta mencuba habis-habisan bagi mengelak kekalahan.

=EZY=