Categories
NASIONAL

Rakyat Malaysia belanja RM6.8 bilion untuk telefon pintar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kira-kira RM6.8 bilion dibelanjakan rakyat Malaysia pada 2016 untuk membeli telefon pintar, menurut kajian organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, GfK.

Pengarah Urusan organisasi GfK bagi Asia Tenggara, Stanley Kee berkata, jumlah itu menunjukkan jualan ketara berbanding RM5.4 bilion, pada 2015.

Katanya, kenaikan terbesar disumbangkan model telefon pintar pertengahan berharga antara RM900 ke RM1,050, berdasarkan rekod bermula Mac 2016 hingga Februari 2017.

“Telefon pintar berjenama dari China merupakan pemacu utama kepada peningkatan permintaan peranti mudah alih tahun lalu, yang juga mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baru memasuki pasaran.

“Dengan peningkatan rangkaian mudah alih baru-baru ini, pengguna di Malaysia sering menggunakan telefon pintar mereka bagi aktiviti seperti membeli-belah dalam talian, media sosial dan pencarian umum dalam internet,” katanya lapor Bernama.

telefonKee berkata, 37 peratus telefon pintar yang dijual dalam tempoh berkenaan mempunyai skrin bersaiz sekitar 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan saiz skrin sebagai segmen terpantas dalam masa 12 bulan.

Katanya, aplikasi membeli-belah juga semakin popular serta turut membuka laluan kepada pembayaran mudah alih.

“Lebih ramai pengguna hari ini menyumbang kepada peningkatan dagangan mudah alih di Malaysia, membuat bayaran menerusi peranti mudah alih untuk membeli barangan runcit, tiket penerbangan dan perkhidmatan seperti Grab dan Uber.

“Kajian pengguna Pemantau Pembeli Elektronik GfK di rantau Asia Pasifik pada 2016 juga menunjukkan kebanyakan responden Malaysia menentukan harga dan jenama sebagai faktor utama dalam pembelian telefon pintar.

“Oleh itu, kami percaya kategori pertengahan telefon pintar akan terus mendominasi pasaran tahun ini,” katanya.