Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Eidul Fitri Selangor kukuh hubungan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Selangor yang dianjurkan pada 2 Julai lalu berlangsung meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk rakan dagang serantau pelaburan dan kedutaan asing.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dukungan delegasi dari luar negara itu membuktikan hubungan rapat Selangor dengan rakan dagang pelaburan serantau.

Katanya, keterbukaan dan kemesraan pentadbiran Kerajaan Negeri mendorong Selangor terus menjadi pilihan utama pelabur asing ke negara ini.

“Kehadiran kedutaan dan pelabur asing ke majlis rumah terbuka sudah menjadi satu adat di Selangor sejak tahun 2008, malah mereka juga turut hadir di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Kerajaan Negeri.

“Ini mencerminkan hubungan erat dan akrab Kerajaan Negeri dengan pelabur serantau melangkaui adat dan budaya mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Raya3Antara delegasi utama dari luar negara yang hadir adalah Her Excellency Kamala Shirin Lakhdir (Amerika Syarikat), H.E Frederic Laplanche (Perancis) dan Yuko Miyagawa (Jepun).

Ia turut dihadiri H.E Michael Winzap (Switzerland), Yu Hyun – Seok (Korea), Rahmatollah Bakhtiari (Iran) dan H.E Attila Kali (Hungary).

Selain itu, majlis turut dihadiri wakil dari rakan dagang antaranya Brunei, Sri Lanka, Nigeria, Yaman, Cuba, Ecuador, Gambia dan Senegal.