Categories
SELANGOR

Selangor Cyber Games kembali, tawar hadiah lumayan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penganjuran Selangor Cyber Games 2017 diharap mampu menyemarakkan minat dan meningkatkan reputasi sukan itu dalam kalangan masyarakat di seluruh negeri juga negara.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berbesar hati acara sukan tahunan memasuki tahun keempat itu terus mendapat kerjasama baik daripada pelbagai agensi termasuk swasta.

“Saya kira ia mempunyai reputasi baik ekoran kita menganjurkan pertandingan yang kompetetif di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri MSN Selangor, di sini, hari ini.

Selangor Cyber Games 2017 kali ini akan berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya, pada 12 dan 13 Ogos dengan mempertaruhkan hadiah keseluruhan RM180,000.

Ia mengumpulkan peserta dari seluruh negara yang turut dianjurkan penggerak belia tempatan dan pihak swasta antaranya Garena Malaysia, Digi, Mineski Events Team, Big Machinez, Legion, Logitech serta Time Fibre Optic Communications.

IMG_20170718_145503Semua peserta akan menyertai acara dalam pertandingan League of Legends Thw Legends Circuit (TLC) Grand Finals yang menyediakan hadiah RM80,000, Selangor Cyber Games Dota 2 Cup (RM50,000), Selangor Cyber Gamems FIFA Online 3 Cup (RM30,000) dan Selangor Cyber Games Tekken 7 Cup (RM20,000).

Sementara itu, Pengurus Perkongsian Garema Malaysia, Yeap Su Gern berkata, pihaknya berbangga terlibat dalam penganjuran sukan berkenaan dan berkongsi misi bersama dengan Kerajaan Negeri.

“Ia adalah penyertaan kedua bersama Selangor Cyber Games dan kita berkongsi matlamat jangka panjang untuk melihat komuniti permainan ini terus melalui perkembangan baik.

“Sebagai penerbit permainan, Gamera Malaysia memperluaskannya dengan memasukkan dua tajuk utama, EA Sports FIFA Online 3 dan League of Legends bagi pertandingan kali ini,” katanya.