Categories
SELANGOR

Selangor Fruits Valley bantu kembang IKS

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 8 JULAI: Selangor Fruits Valley (SFV) mempunyai peluang luas untuk meneroka usaha mewujudkan industri mengetin buah-buahan tempatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia usaha itu bagi memenuhi permintaan pasaran, mempelbagaikan penggunaan dan mengatasi lambakan buah-buahan tempatan.

Katanya, industri itu sudah dilaksanakan negara jiran, Thailand yang mempunyai kadar produktiviti pertanian tinggi.

“Statistik menunjukkan negara mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada import produk makanan diproses termasuk produk makanan dalam tin.

“SFV juga perlu berperanan membantu perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan menyuntik nilai tambah menerusi industri pemprosesan makanan seperti pembungkusan dan mengetin,” katanya.

BuahanPada 2015, Malaysia mencatatkan jumlah eksport pemprosesan makanan negara berjumlah RM18 bilion manakala import RM17.8 bilion.

Nilai import antara lain merangkumi produk tenusu RM3.5 bilion, gula dan konfektionari gula (RM3.4 bilion), sayur-sayuran dan buah-buahan RM1.8 bilion serta koko (RM1.5 bilion).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berharap SFV dapat mendukung program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS) dengan memberikan khidmat nasihat dan latihan serta meneroka penggunaan teknologi khususnya dalam asperk pembungkusan dan pemasaran.

“SFV juga harus menerajui usaha hasil tanaman organik serta meneroka potensi pasaran, selaras trend masyarakat yang semakin mempunyai kesedaran pentingnya penjagaan kesihatan.

“Jalinan kerjasama erat dengan Jabatan Pertanian dan MARDI perlu juga diberi perhatian SFV untuk merangkul peluang pasaran,” katanya.

=EZY=