Categories
SELANGOR

SPR akur keputusan mahkamah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JULAI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur berhubung keputusan mahkamah mengeluarkan perintah injuksi untuk tidak membenarkan prosiding persempadanan semula diteruskan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya menghormati sebarang keputusan sehingga kes semakan kehakiman dimuktamadkan mahkamah.

“SPR sentiasa mematuhi dan menghormati keputusan mahkamah yang menerima permohonan Kerajaan Selangor untuk menghalang SPR daripada menyerahkan laporan akhir syor persempadanan semula bahagian pilihanraya negeri-negeri Tanah Melayu ini kepada Perdana Menteri tanpa memasukkan Selangor dalam laporan itu.

“Keputusan ini bermakna SPR boleh meneruskan tanggungjawab dalam menyelesaikan urusan siasatan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“SPR amat menghargai dan sentiasa menghormati keputusan itu,” katanya dalam kenyataan.

Disember lalu, SPR menangguhkan prosiding siasatan berkenaan terhadap cadangan persempadanan semula Selangor selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Negeri untuk menangguhkan siasatan itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan injuksi untuk tidak membenarkan SPR mengemukakan laporan persempadan baru itu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Tuan Azizul Azmi Adnan yang menetapkan SPR tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan proses persempadanan di bawah Seksyen 8 Jadual 13 sehingga prosiding selesai.

=EZY=