Categories
GLOBAL NASIONAL

Serpihan dipercayai milik MH370 ditemui

VICTORIA, 14 JULAI: Dua serpihan disyaki milik pesawat MH370 yang hilang, pada 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan ditemui, lapor Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Seychelles (SCAA).

Pihak berkuasa itu berkata, serpihan terbabit ditemui terdampar di Farqhar oleh saintis yang menjalankan penyelidikan berkenaan burung dan penyu.

Katanya, perkara berkenaan juga sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Arah arus laut menunjukkan kemungkinan serpihan itu berasal dari lokasi lain yang dilaporkan turut menemui kepingan pesawat berkenaan di beberapa negara Lautan Hindi,” kata pegawai kanan SCAA, lapor Reuters.

Farqhar adalah antara pulau yang membentuk negara tropika di Lautan Hindi itu.

Sementara itu, hjurucakap agensi pentadbir semua kepulauan di Seychelles, Michael Payet berkata, serpihan terbesar daripada kedua objek itu adalah sepanjang 120 sentimeter dan 30 sentimeter lebar, dipercayai diperbuat daripada aluminium dan gentian karbon.

MH370“Ia mungkin sebahagian daripada penutup enjin. SCAA berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia yang menyatakan minat untuk bekerjasama,” katanya dalam kenyataan.

Sejumlah serpihan dipercayai milik pesawat penumpang Boeing 777 itu ditemui, selepas lebih tiga tahun usaha pencarian dijalankan.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru itu hilang pada 8 Mac 2014 sebaik berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.