Categories
PBT SELANGOR

Persimpangan bertingkat surai kesesakan di BSP

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini dalam usaha membina persimpangan bertingkat di bulatan Bandar Saujana Putra (BSP) untuk menangani isu kesesakan ketika waktu puncak di kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) selaku pemaju di kawasan berkenaan sudah menerima kelulusan pelan kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan menunggu tindakan lanjut.

“Perkara itu kini dalam tindakan PNSB bagi mengadakan persimpangan bertingkat di bulatan BSP untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zain berkata, pihaknya turut merangka penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi kesesakan di kawasan itu, sementara menanti persimpangan berkenaan siap sepenuhnya.

Katanya, antara langkah diambil termasuk memasang lampu isyarat yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memberi kerjasama dan membantu mengawal kesesakan lalu lintas di bulatan itu bagi mengurang serta mengawal kesesakan, pada waktu puncak.

“MDKL juga berharap orang ramai dapat bersabar menghadapi kesesakan yang berlaku kerana pelbagai usaha sudah digerakkan ketika ini,” katanya.