Categories
SELANGOR

SPR wajar patuh Seksyen 8 Jadual 13

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan supaya tidak melanggari Seksyen 8 Jadual 13 berhubung perintah injuksi dikeluarkan Mahkamah Tinggi, sebelum ini.

Peguam, Latheefa Koya berkata, keputusan itu menetapkan supaya halangan laporan proses persempadanan baru dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk susulan.

“Apa yang kita isukan, kalau Selangor tidak dimasukkan dalam laporan itu, maka ia boleh disifatkan sebagai tidak lengkap.

“Kalau nama Selangor tidak disertakan ia tidak menepati Seksyen 8 di bawah Jadual 13 itu.

“Justeru dalam tempoh itu, memang tidak boleh dihantar kepada Perdana Menteri tanpa Selangor selesai dengan proses inkuiri itu,” katanya kepada SelangorKini.

sprBeliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengeluarkan injuksi untuk tidak membenarkan SPR mengemukakan laporan persempadanan baru.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Tuan Azizul Azmi Adnan selepas mengambil kira permohonan injuksi dibuat Kerajaan Selangor, sebelum ini.

Mahkamah dalam keputusannya menetapkan SPR tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan proses persempadan di bawah Seksyen 8 Jadual ke 13 sehingga semua prosiding perundangan di peringkat negeri selesai.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor oleh SPR.

Permohonan dibuat mendapatkan perisytiharan bahawa notis disiarkan tidak mempunyai butiran terperinci, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau Kerajaan Negeri tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk membuat representasi.

Permohonan difailkan selepas SPR didapati bertindak dengan tidak mengikut Perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional berlandaskan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

=EZY=