Categories
PBT SELANGOR

Tahun Melawat Klang 2017: Kehadiran pelancong meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 JULAI: Heritage Walk, Muzium Diraja dan Guan Yin Temple merupakan antara tarikan yang menyumbang kepada pertambahan pelancong melawat Klang sempena Tahun Melawat Klang 2017.

Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Yasid Bidin berkata, selain itu peningkatan tahap kebersihan dan hasil pemuliharaan Sungai Klang juga memainkan peranan terpenting dalam usaha mempromosikan Klang sebagai produk pelancongan.

“Setakat ini pencapaian kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Klang 2017 amat memberangsangkan di mana kita menubuhkan satu pasukan membantu menjana lagi kedatangan orang luar ke sini.

“Misalnya di Klang Heritage Walk kita menamakan beberapa orang menguruskan pelawat yang akan datang melawat ke sini dan selain Heritage Walk, Muzium Diraja dan kawasan sekitarnya, Guan Yin Temple juga sering menjadi tumpuan setiap minggu.

KLANG“Kedatangan pelancong memang nampak meningkat apabila Klang kini menawarkan suasana lebih menarik dan bersih termasuk Sungai Klang sendiri,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MPK berhampiran Sungai Klang di Taman Pengkalan Batu, di sini, semalam.

Bagaimanapun jelasnya, statistik sebenar kedatangan pelancong ke Klang didedahkan selepas mendapat data lebih tepat daripada Tourism Selangor.

Katanya, rangkaian gedung perniagaan borong di Klang, GM juga kerap mengadakan promosi dan sekaligus menarik kedatangan pelawat luar.

Katanya lagi, sektor pelancongan di Klang turut mendapat nilai tambah dengan kehadiran tiga ekor buaya yang menjadikan Sungai Klang sebagai habitat mereka.

“Ini jelas membuktikan Sungai Klang semakin bersih apabila hidupan akuatik semakin banyak berada di Sungai Klang,” katanya.

=EZY=