Categories
PBT SELANGOR

Buaya Sungai Klang disangka satu rupanya tiga

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 JULAI: Andaian hanya seekor buaya yang menjadikan Sungai Klang sebagai habitatnya ternyata meleset apabila penemuan terbaharu mendapati terdapat tiga ekor buaya di sungai bersejarah itu.

Yang DiPertua (YDP) MPK, Dato’ Yasid Bidin, berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Perhilitan baru-baru ini.

“Buaya itu masih berada di dalam Sungai Klang dan saya menerima imej terbaharu di mana salah seekor buaya itu sedang berehat di atas tebing  kering.

“Buaya ini juga kita akan jadikan satu tarikan baharu di bandar Klang di mana belum ada lagi buaya masuk ke kawasan bandar. Jika buaya ini boleh membiak kita akan promosikan lagi.

mpk-660x471“Kita tak tahu jumlah sebenar buaya yang ada di Sungai Klang tetapi kami dimaklumkan oleh Jabatan Perhilitan setakat ini ada tiga ekor semuanya.

“Bagaimanapun kita belum kaji dengan terperinci ada berapa ekor sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MPK berhampiran Sungai Klang di Taman Pengkalan Batu, di sini, semalam.

Jelasnya, setakat ini kehadiran buaya di sungai itu tidak mendatangkan ancaman kepada orang ramai.

Bagaimanapun katanya, MPK telah mengambil tindakan awal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan memasang papan tanda amaran di sekitar Sungai Klang.

=EZY=