Categories
SELANGOR

Tambah baik sistem, bekalan air di Klang terganggu 10 Ogos

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JULAI: Beberapa kawasan di Klang akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada 10 Ogos ini bermula jam 8 pagi hingga 2 petang keesokan harinya.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, gangguan itu disebabkan usaha menambahbaikkan perkhidmatan air kepada pelanggan di Klang.

Katanya, ia membabitkan kerja-kerja penggantian perkakasan sistem agihan air di hadapan Kilang Mapletree, bersebelahan Sungai Damansara dan persimpangan Seksyen 25, Klang akan dilaksanakan pada 10 Ogos 2017.

“Gangguan bermula jam 8 pada 10 Ogos sehingga 2 petang keesokan harinya semasa kerja–kerja penggantian perkakasan ini dijalankan.

“Antara kawasan-kawasan terlibat di Klang adalah Seksyen 25, Taman Nagasari, Jalan 25/126 dan Jalan 25/127 Sri Muda, Harun Estate/ Selatevan, Flat PPRT Seksyen 26, Batu 4 Kampung Jawa, Kampung Teluk Menegun, Taman Alam Nyata dan Taman Samarinda,” katanya.

Beliau berkata, segala usaha akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja penggantian perkakasan dengan secepat mungkin.

Katanya, pengguna dinasihati untuk menyimpan bekalan air secukupnya sebelum kerja-kerja bermula pada 10 Ogos 2017.