Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings tawar rumah mewah mampu milik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pemaju hartanah Worldwide Holdings Berhad menawarkan Skim Mudah Milik bagi rumah Cendana di Puncak Bestari 1 dengan hanya RM5,000 deposit diperlukan.

Ketua Projek Worldwide Holdings, Noor Azmi Ali berkata, bakal pembeli rumah itu turut menikmati keistimewaan pakej baru termasuk diskaun bumiputera tujuh peratus dan kos perjanjian jual beli (SPA) serta kos memorandum tukar hak milik (MOT) secara percuma.

Katanya, projek hartanah di Puncak Bestari 1 itu menawarkan konsep rumah mewah mampu milik dengan persekitaran menarik dan lokasi strategik.

“Kawasan pembangunan projek ini membabitkan keluasan 124 ekar dan hingga kini hampir 70 peratus kediaman sudah dimiliki.

“Puncak Bestari 1 adalah lokasi strategik dan berpotensi dengan kemudahan akses utama termasuk berdekatan pasar raya utama, pusat pengajian tinggi dan pusat rekreasi,” katanya.

Noor Azmi berkata, projek terbabit menawarkan empat kategori kediaman dan mempunyai ciri rekaan eksklusif serta moden.

cendana 2Katanya, keempat kategori rumah itu ialah Cendana (teres dua tingkat), Cengal (rumah berkembar dua tingkat), Belian (banglo dua tingkat) dan Jati (lot komersial) yang siap sepenuhnya berserta Sijil Layak Menduduki (CCC).

“Sebanyak 208 unit rumah Cendana berkeluasan antara 2,290 hingga 2,338 kaki persegi dengan empat bilik dan empat bilik air.

“Manakala Cengal sebanyak 48 unit kediaman dengan keluasan 2,345 kaki persegi; unit Belian 40 unit kediaman berkeluasan 2,545 kaki persegi dan unit Jati sebanyak 34 unit kediaman,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang dalam proses membangunkan fasa pertama bagi projek perumahan Puncak Bestari 2.

“Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat awal berkaitan prospek pemilikan hartanah di Puncak Bestari 2,” katanya.