Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan RM1 bilion IKEA tanda keyakinan terhadap Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 OGOS: IKEA bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina pusat pengedaran produknya untuk rantau Asia Pasifik di Pulau Indah, Selangor, umum Kerajaan Negeri.

Menerusi kenyataan Pejabat Dato’ Menteri Besar, IKEA Pulau Indah dikatakan bakal menjadi pusat pengedaran produk IKEA ketiga terbesar di dunia selepas IKEA Chicago, Amerika Syarikat dan IKEA Dusseldorf, Jerman.

Katanya, pusat pengedaran dan rantaian pembekalan serantau itu bakal dihubungkan dengan 12 cawangan peruncitan IKEA, di ASEAN.

MB IKEA (1)“Ini akan memberi nilai tambah kepada Selangor selaku negeri pintar daripada aspek peluang pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan industri domestik.

“Pilihan strategik IKEA ini adalah tanda keyakinan IKEA terhadap pimpinan Selangor selain kedudukan strategik Selangor di Asia Tenggara bagi menjalankan operasi peruncit global itu,” katanya.

Kenyataan itu merujuk hasil lawatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke pejabat korporat IKEA di Basel, Switzerland, hari ini.

Perjanjian ditandatangani IKEA yang diwakili oleh Pengarah IKEA Supply AG, Michael Nielsen dan Penasihat Undang-undang IKEA Supply AG, Magnus Holmquist.

Sementara itu, Kerajaan Negeri diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato’ Noordin Sulaiman.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Nor Azmie Diron.