Categories
SUKANKINI

Ayuh Harimau Malaysia, kami bersamamu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kurang 12 jam memisahkan sepak mula antara Malaysia dan Thailand dalam misi merangkul ‘Ibu Segala Pingat’ dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tanpa berselindung, Malaysia pastinya mahu memiliki pingat emas sekaligus menebus kekecewaan tewas kepada pasukan sama 16 tahun lalu ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001.

Thailand pastinya mahu merobek ego Malaysia yang beraksi di laman sendiri dengan sokongan hampir 70,000 rakyat Malaysia di Stadium Shah Alam walaupun terpaksa berhempas pulas menewaskan Myanmar 1-0 di separuh akhir.

Walaupun Malaysia sudah mencapai sasaran kutipan 111 pingat emas menerusi jaguh berbasikal negara, Azizul Hasni Awang semalam tetapi kegembiraan memiliki pingat emas acara bola sepak pastinya lebih manis bahkan beraksi di laman sendiri.

Malaysia pastinya meletakkan sandaran kepada penyerang prolifik, N Thanabalan yang mempamerkan aksi mengagumkan sepanjang kejohanan apabila menghadiahkan jaringan bermakna menerusi tandukan pada penghujung perlawanan separuh akhir berdepan Indonesia.

Safawi Rasid yang turut menjadi sandaran di bahagian serangan, Matthew Davies (tengah) dan Adam Nor Azlin (pertahanan) sudah pastinya mahu memastikan struktur pasukan Malaysia beraksi sebaik mungkin bagi mengekang serangan Thailand.

Pastinya Malaysia tidak boleh melakukan kesilapan mudah apatah lagi melepaskan gol awal kerana ia mampu menjejaskan moral pasukan.

Pengalaman tewas kepada Thailand 1-0 hasil jaringan Sarawut Treepan pada minit ke-87 perlawanan pada 2001 masih menjadi luka yang belum sembuh buat Malaysia dan pastinya malam ini peluang terbaik untuk menebus kekecewaan.

Lupakan kisah pengendalian tiket tidak sistematik hingga mencetuskan kekecohan di perkarangan Stadium Shah Alam dan laman sosial semalam.

Keutamaan kita sebagai rakyat Malaysia adalah memberikan sokongan sepenuhnya tidak kira sama ada kita menonton perlawanan akhir malam ini di rumah, kedai mamak atau panggung wayang.

Yang menyokong di Stadium Shah Alam, tunjukkan kematangan kita sebagai penyokong dengan menjaga tatasusila serta kebersihan. Elakkan sebarang provokasi terutama terhadap pasukan lawan tidak kita apa jua keputusannya di hujung perlawanan.

Ingat!!! sikap kita cerminan negara di mata dunia. Jaga maruah negara selaku tuan rumah KL2017.

AYUH HARIMAU MALAYSIA, KITA BANGKIT BERSAMA !!!