Categories
NASIONAL

Bauksit: Tiada kuasa dakwa, taring SPRM dipotong BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OGOS: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kejayaan menahan beberapa penjawat awam di Pejabat Tanah dan Galian Pahang di Kuantan kerana disyaki membocorkan maklumat operasi kepada pelombong haram bauksit.

Fuziah bagaimanapun berkata, penahanan dan siasatan SPRM itu tidak membawa sebarang makna jika pihak Peguam Negara tidak melakukan pendakwaan terhadap tertuduh.

“Aktiviti membantu perlombongan haram ketika moratorium yang diumumkan kementerian adalah perbuatan khianat kepada negara, insan dan alam sekitar serta tidak ada toleransi yang wajar diberikan kepada pengkhianat.

Fuziah Bauksit“Namun, SPRM hanya punya kuasa untuk menyiasat tetapi tidak untuk mendakwa. Taring SPRM sudah dipotong rejim kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu terus membantutkan proses demokrasi, amalan ‘good governance’ serta integriti dan ketelusan di dalam urus tadbir,” katanya kepada SelangorKini, semalam.

Katanya, pihak Peguam Negara perlu membuktikan kesungguhan mereka untuk membersihkan rasuah di dalam industri perlombongan bauksit haram dengan mendakwa semua tertuduh yang ditahan SPRM itu.

SPRM menahan seorang pembantu am di PTG Pahang kerana disyaki menerima rasuah membocorkan maklumat operasi kepada pelombong bauksit haram, pada 5 Ogos lalu.

Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan berkaitan kegiatan perlombongan bauskit ini seramai 11 orang termasuk seorang Pegawai Kanan Kastam dan sembilan kakitangan PTG Pahang.