Categories
NASIONAL

Bauksit: Proses libat urus tambah baik SOP

PUTRAJAYA, 23 FEB: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan mengadakan sesi pendengaran awam dan libat urus bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perlombongan dan pengeskportan bauksit, di Pahang.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, proses terbabit akan diadakan sebelum 31 Mac ini dan akan mengambil kira kepentingan rakyat serta badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar.

Katanya, ia merangkumi semua aspek termasuk perancangan perlombongan, pengurusan tapak perlombongan bauksit; pengangkutan dan penguatkuasaan; pengurusan tapak stok dan pelabuhan serta prosedur pengeksportan bauksit.

“Orang awam akan dapat mengakses dan meneliti SOP terbabit, pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Katanya, sesi libat urus itu diadakan ekoran keputusan kabinet, pada 18 Februari lalu bahawa moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang ditamatkan, pada 31 Mac ini.

Ekoran itu, katanya, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan SOP baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“KATS komited untuk memastikan segala keluhan rakyat terutama mereka yang terkesan secara langsung dengan aktiviti perlombongan bauksit didengari selaras visi kementerian sebagai peneraju pengurusan air, tanah dan sumber asli secara mampan demi kesejahteraan negara.

“Usaha giat sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kerajaan Pahang,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Saranan bekukan AP Bauksit ternyata tepat

OLEH FUZIAH SALLEH

Kenyataan Media saya pada 30 hb Jun 2017 telah menyebut bahawa cara yang terbaik untuk menguruskan isu perlombongan bauksit haram ialah dengan membekukan permit ekspot khas.

Pada hari semalam SPRM telah menyita 10 juta metrik ton stokpile bauksit. Jumlah yang teramat banyak bukti kerakusan manusia dan kegagalan penguatkuasaan agensi2 terlibat.

Ia juga menyerlahkan sifat ketamakan pihak pelombong haram didalam membuat keuntungan tanpa mengambil kira kerosakan kepada alam sekitar dan kesan kepada kesihatan awam.

BAUKSIT 1Pada 8 Ogos 2017 apabila Menteri NRE membuat kenyataan tentang jumlah ekspot bauksit telah amat jelas membuktikan berlaku perlombongan bauksit haram apabila jumlah ekspot stokpile diluar pelabuhan telah menjangkau 5.8juta metrik ton sedangkan jumlah stokpile di permulaan ialah hanya 5.4juta metrik ton

Saya juga telah beberapa kali sebelum itu menyarankan perkara yang sama iaitu bekukan permit ekspot khas untuk membenarkan perlombongan haram tidak terus berlaku.

Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak menentang industri perlombongan bauksit. Namun segala bentuk aktiviti ekonomi mestilah lestari (sustainable) serta menjunjung prinsip dan kaedah menang-menang.

Maksud menang-menang ialah apabila pelombong dapat untung, negeri juga dapat revenue, rakyat dapat manfaat, dan bukan dapat penyakit dan alam sekitar juga dipastikan tidak tercemar.

* Fuziah Salleh adalah Ahli Parlimen Kuantan (KEADILAN)

Categories
NASIONAL

Bauksit: Tiada kuasa dakwa, taring SPRM dipotong BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OGOS: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kejayaan menahan beberapa penjawat awam di Pejabat Tanah dan Galian Pahang di Kuantan kerana disyaki membocorkan maklumat operasi kepada pelombong haram bauksit.

Fuziah bagaimanapun berkata, penahanan dan siasatan SPRM itu tidak membawa sebarang makna jika pihak Peguam Negara tidak melakukan pendakwaan terhadap tertuduh.

“Aktiviti membantu perlombongan haram ketika moratorium yang diumumkan kementerian adalah perbuatan khianat kepada negara, insan dan alam sekitar serta tidak ada toleransi yang wajar diberikan kepada pengkhianat.

Fuziah Bauksit“Namun, SPRM hanya punya kuasa untuk menyiasat tetapi tidak untuk mendakwa. Taring SPRM sudah dipotong rejim kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu terus membantutkan proses demokrasi, amalan ‘good governance’ serta integriti dan ketelusan di dalam urus tadbir,” katanya kepada SelangorKini, semalam.

Katanya, pihak Peguam Negara perlu membuktikan kesungguhan mereka untuk membersihkan rasuah di dalam industri perlombongan bauksit haram dengan mendakwa semua tertuduh yang ditahan SPRM itu.

SPRM menahan seorang pembantu am di PTG Pahang kerana disyaki menerima rasuah membocorkan maklumat operasi kepada pelombong bauksit haram, pada 5 Ogos lalu.

Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan berkaitan kegiatan perlombongan bauskit ini seramai 11 orang termasuk seorang Pegawai Kanan Kastam dan sembilan kakitangan PTG Pahang.

Categories
NASIONAL

Jalan kaki Red2Green tinggal 67km lagi

21 MAC : Berdepan cuaca panas dan pelbagai dugaan bukan penghalang semangat peserta berjalan kaki anti-bauksit Red2Green dari Kuantan menuju ke Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Memasuki hari ini, peserta sudah menghabiskan perjalanan berjalan kaki sejauh 230 kilometer dengan berbaki 67 kilometer lagi.

Gambar jalanPerjalanan pada 12 Mac lalu adalah usaha untuk melahir rasa tidak puas hati mereka terhadap masalah perlombongan bauksit di Pahang yang belum ada kesudahannya.

Perjalanan itu bakal berakhir di bangunan Parlimen pada 28 Mac dengan peserta menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen.

Selain itu, beberapa NGO seperti Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Pertubuhan Gelombang Hijau, Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit turut menghantar wakil sebagai tanda sokongan mereka.

Perjalanan bermula di Kampung Jeram Berserah, seterusnya melalui bandar Kuantan dan Gambang, kemudian mereka berhenti di 14 perhentian untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan sehingga ke bangunan Parlimen di ibu negara.

EZY

Categories
SELANGOR

Perlombongan bauksit diharamkan di Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

TANJUNG SEPAT, 17 JAN: Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan membenarkan perlombongan bauksit dijalankan di negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kegiatan seperti itu tidak sesekali diluluskan dan Kerajaan Negeri tidak  berkompromi dalam perkara itu.

Bauksit1“Kita tidak mahu apa yang berlaku di sebuah negeri atas nama pembangunan habis laut dan sungai menjadi merah. Pencemaran alam berleluasa.

“Segelintir orang mendapat untung puluhan dan ratus juta ringgit tetapi ralyat di bawah menderita. Ini tidak akan berlaku di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengumumkan tidak memberi kebenaran mengenai perlombongan itu yang akan mencemarkan negeri dan menyusahkan rakyat.

“Hasil perolehan besar yang dicapai mesti diserahkan semula kepada rakyat menerusi projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada semua seperti pembinaan jeti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian pembinaan semula jeti nelayan Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Projek bauksit di Kuantan, Pahang menjadi hangat berikutan bantahan penduduk di negeri itu mengeluh dengan pencemaran berlaku di sekitar kawasan pembangunan yang boleh menyebabkan risiko kesihatan dan kemalangan jalan raya.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan penangguhan tiga bulan projek berkenaan.

EZY

Categories
NASIONAL

Bauksit: Gunakan wang konsesi perlombongan bukan rakyat

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Syarikat konsesi perlombongan bauksit sepatutnya diarahkan bertanggungjawab membersihkan sisa mineral itu tanpa menggunakan wang rakyat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menegaskan pihaknya membantah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan kementerian berkenaan untuk mencuci pencemaran itu.

BauksitBeliau menyifatkan penggunaan wang rakyat itu seperti mencurah garam ke luka rakyat bahkan ia lebih baik digunakan membantu golongan kurang berkemampuan.

“Sebaiknya janganlah ditambah kemarahan rakyat dengan menggunakan duit rakyat pula untuk mencuci pencemaran ini.

“Tatkala rakyat semua dalam kesusahan akibat kenaikan kos sara hidup dan GST, tindakan menggunakan duit rakyat untuk mencuci kekotoran bauksit ini ibarat mencurah garam kepada luka rakyat,” katannya dalam satu kenyataan.

Selaku Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit, beliau menggesa Perdana Menteri membatalkan arahan itu dan mengarahkan syarikat konsesi melakukan kerja pembersihan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) meggunakan hasil keuntungan bauksit.

“Perdana Menteri silalah arah kesemua syarikat pemilik konsesi melombong, syarikat pemilik lori mengangkut bauksit dan syarikat mempunyai lesen AP mengekspot bauksit melakukan tugas mencuci.

“Kita semua maklum banyak ketirisan sewaktu mengutip royalti di peringkat kerajaan negeri. Kita juga sedia maklum bahawa satu sen pun tidak di kutip dari syarikat pengekspot dalam bentuk duti ekspot.

“Jumlah ekspot bauksit dianggarkan RM3.6 Billion pada tahun 2015, dimana mereka tidak membayar eksport duti walau satu sen pun,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Bauksit: Kembalikan kelestarian alam sekitar

SHAH ALAM 14 JAN: Pihak berkuasa wajib mengembalikan kelestarian alam sekitar di kawasan terjejas dengan aktiviti perlombongan bauksit di sekitar Kuantan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata tempoh moratorium selama tiga bulan perlu digunakan bagi memantau Kerajaan Pahang untuk memastikan aktiviti perlombongan tidak dimulakan semula.

Katanya, bencana pencemaran alam sekitar dan risiko kesihatan yang dialami sebelum ini akibat hilangnya kawalan pihak berkuasa terhadap industri bauksit di Kuantan tidak boleh dibenarkan berulang.

Fuziah Bauksit“Menyiapkan garis panduan amalan terpuji antarabangsa perlombongan bauksit dan menggesa melihat kesungguhan Kerajaan Negeri bagi memastikan tidak dimulakan semula melainkan syarat dipatuhi.

“Garis panduan ini merangkumi aspek prosedur melombong, mengangkut tanah, mencuci tanah, stockpile dan juga prosedur mengeksport,” kata Fuziah dalam kenyataan media.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Mencegah Pencemaran Bauksit komited memperjuangan kelestarian ekonomi tempatan yang wujud sekian lama iaitu industri perikanan dan industri pelancongan.

Katanya, gabungan itu mengambil langkah memulakan kempen mengembalikan kehijauan Kuantan didalam kempen #RedToGreen

“Pasukan ini juga membantu memastikan perlombongan bauksit tidak dimulakan semula melainkan syarat ketat Best Practise dipatuhi,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Hentikan terus perlombongan bauksit, banyak mudarat dari untung

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JAN: Aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan perlu diharamkan terus kerana ia membawa lebih banyak kemudaratan berbanding keuntungan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata hasil negara daripada perlombongan bauksit tidak berbaloi dengan kos dan bencana yang ditanggung rakyat.

Katanya, hasil kutipan Kerajaan Pahang tidak sampai RM200 juta sehingga 2016, sedangkan kerajaan dan penduduk Kuantan menanggung kos jauh lebih tinggi.

Fuziah Bauksit“Oleh itu sudah sampai masanya perlombongan bauksit diharamkan terus kerana terbukti membawa kerosakan kepada majoriti penduduk sedangkan hasil kepada rakyat tidak berbaloi dengan kos ditanggung.

“Saya mendesak supaya moratorium aktiviti melombong diumumkan ditukar kepada pengharaman aktiviti melombong bauksit berkuatkuasa serta merta.

“Kerajaan Persekutuan nampaknya tidak mengenakan sebarang cukai ke atas perlombongan bauksit. Maka hasil kepada Kerajaan Persekutuan adalah kosong,” katanya dalam kenyataan media.

Fuziah berkata kos ditanggung kerajaan dan orang ramai termasuk pemuliharaan alam sekitar, membaiki jalan dan infrastruktur serta kehilangan pendapatan di kalangan penduduk.

Selain itu, kos rawatan kesihatan juga meningkat akibat pencemaran alam sekitar dan nilai hartanah menjadi susut.

Memetik laporan Sydney Morning Herald Ogos lalu, Fuziah berkata pengaruh Malaysia di pasaran bauksit China akan hilang menjelang 2017 dan dijangka tidak akan kekal lama.

Ini kerana pengimport bauksit dari China memilih bijih bauksit yang berkualiti sedangkan kualiti bauksit yang dihasilkan di Malaysia adalah lebih rendah.

Katanya, pengeksport baru dari Australia juga dijangka mula mengeksport ke China dan akan memberi saingan kepada negara ini.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bauksit: Tiada hasil untuk negara, bencana ditanggung rakyat

OLEH : FUZIAH SALLEH

Perlombongan berleluasa bauksit di Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan kawasan sekitarnya yang memuncak sejak lewat 2014 telah membawa kesengsaraan kepada ratusan ribu penduduk di situ.

Selain dari gangguan akibat dari debu merah yang menyelubungi Kuantan dan kawasan sekitar, saya telah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

Fuziah BauksitSaya juga berharap pimpinan Umno/Barisan Nasional yang bertanggungjawab sedia maklum bahawa industri perlombongan bauksit dan eksport bauksit Malaysia pada kuantiti sekarang (sekitar 20 – 25 juta tan setahun) tidak akan kekal lama atas faktor-faktor berikut:

1. Kualiti bijih bauksit adalah lebih rendah dan sekiranya diberikan pilihan, pengimport China lebih gemar membeli dari pengeksport yang boleh memberikan kualiti bijih bauksit yang lebih baik

2. Harga bijih bauksit yang melonjak sekejap dalam tahun 2014 hingga 2015 akibat dari larangan eksport bauksit oleh Kerajaan Indonesia akan mula stabil

3. Lombong-lombong baru dan pengeksport baru dari Australia dijangkakan mula mengeksport ke China bagi memenuhi permintaan dan kualiti bijih bauksit mereka adalah lebih baik
Laporan Sydney Morning Herald bertarikh 19 Ogos 2015 (http://www.smh.com.au/…/alumina-targets-bauxite-exports-des…) malah menyebut pengaruh Malaysia di pasaran bauksit China akan hilang menjelang tahun 2017.

Oleh itu saya menganggarkan bahawa hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri Pahang tidak pun akan mencecah RM200 juta dari tahun 2014 hingga 2016 (RM47 juta dikutip dalam tahun 2015, kuantiti eksport dalam 2016 adalah lebih rendah dari 2015 kerana moratorium aktiviti perlombongan dan kutipan 2014 jauh lebih rendah dari kutipan 2015).

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan nampaknya tidak mengenakan sebarang cukai ke atas perlombongan bauksit. Maka hasil kepada Kerajaan Persekutuan adalah kosong.

Namun kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan terutamanya penduduk Kuantan dan sekitarnya sudah tentu jauh lebih tinggi dari RM200 juta. Kos-kos ini termasuklah:

1. Kos pemuliharaan kembali alam sekitar yang rosak akibat perlombongan.

2. Kos membaiki jalan dan infrastruktur lain yang rosak akibat lori keluar masuk.

3. Kos hilang pendapatan oleh penduduk kerana tanah mereka tidak boleh digunakan lagi.

4. Kos rawatan kesihatan yang ditanggung oleh kerajaan dan penduduk akibat masalah kesihatan yang timbul kerana pencemaran alam sekitar

5. Kos hilang nilai hartanah yang ditanggung penduduk
dan lain-lain.

Oleh itu sudah sampai masanya perlombongan bauksit diharamkan terus kerana telah terbukti membawa kerosakan kepada majoriti penduduk sedangkan hasil kepada rakyat tidak berbaloi dengan kos yang ditanggung.

Saya mendesak supaya moratorium aktiviti melombong yang diumumkan ditukar kepada pengharaman aktiviti melombong bauksit berkuatkuasa serta merta.

* Fuziah Salleh adalah Ahli Parlimen Kuantan

Bauksit lebih bahaya dari vape, kenapa tidak haram?


“Bila isu vape timbul, JAKIM menjemput semua mufti bersidang khas untuk isu itu. Semuanya dijemput datang dari negeri masing-masing. Maaf, saya tidak hadir tetapi menghantar wakil,” Mufti Perlis.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bauksit: Perlombongan dihenti sementara namun wajib dipantau

OLEH : SYED IBRAHIM SYED NOH

Kita dan saya percaya rakyat di Kuantan sambut baik penutupan sementara atau moratorium tiga bulan ke atas operasi pelombongan bauksit di Kuantan.

Namun pemantauan rapi wajib dilakukan supaya moratorium benar-benar dipatuhi dan tidak hanya indah khabar dari rupa.

BauksitMalah pihak Kementerian tidak boleh berlepas tangan hanya kepada pihak industri untuk bertindak mengawal pencemaran.

Sebaliknya usaha yang menyeluruh dan segera daripada semua pihak perlu digerakkan supaya pencemaran dapat dikawal dan dicegah sepenuhnya.

Sebagaimana yang saya tegaskan dalam kenyataan semalam, kepentingan kemanusiaan dan alam wajib menjadi keutamaan tertinggi dalam apa juga tindakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Wan Jaafar hari ini berkata operasi bauksit dihentikan selama tiga bulan bermula 15 Januari untuk mengawal pencemaran.

Jika pencemaran masih gagal dikawal selepas tiga bulan maka moratorium akan dilanjutkan.

Menariknya, Menteri sendiri akui laut tercemar (laut berwarna merah) kerana stok simpanan bauksit tidak diangkut keluar dari pelabuhan, bertentangan dengan penjelasan sebelumnya oleh Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC).

Saya nasihatkan pihak yang terlibat untuk menyemak insiden yang berlaku sebelum mengeluarkan jawapan yang tidak tepat.

Rakyat tidak mudah dikelirukan dan akan terus memantau sehingga isu bauksit ini selesai.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Categories
NASIONAL

Mufti Perlis: Bauksit lebih bahaya daripada vape, kenapa diam?

SHAH ALAM 8 JAN: Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur sikap berdiam diri pihak berkuasa agama khususnya majlis fatwa dalam isu bauksit.

Beliau melahirkan kehairanan sikap membisu para agamawan Islam terhadap isu bauksit sedangkan ia lebih merbahaya berbanding vape.

bauksit“Saya keluarkan kenyataan tentang isu bauksit di Pahang. Apabila saya lihat aktiviti itu mengancam manusia, alam, tumbuhan dan haiwan, saya rasa sedih dan dukacita.

“Bila isu vape timbul, JAKIM menjemput semua mufti bersidang khas untuk isu itu. Semuanya dijemput datang dari negeri masing-masing. Maaf, saya tidak hadir tetapi menghantar wakil,” kata Dr Asri dalam status di laman facebooknya.

Menurut beliau, lebih baik jika isu bauksit diberikan perhatian yang lebih daripada isu vape kerana bauksit ternyata lebih berbahaya daripada vape.

“Di media massa, tokoh agama juga berbual ‘sakan’ tentang isu vape yang boleh membahayakan penghisapnya. Kelihatan ustaz bersemangat menentang vape. Tidak mengapa. Ma sha Allah.

“Apakah munasabah Islam hanya mengharamkan vape, tapi mendiamkan diri dalam isu jauh lebih besar dan bahaya? Apakah pandangan agama hanya untuk rakyat bawahan sahaja, tetapi ‘sunyi’ segala dalil apabila membabitkan urusan atasan?,” soal beliau.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika generasi muslim yang cerdas berfikir dan golongan bukan muslim salah faham terhadap Islam disebabkan sikap sebegini.

Menurutnya, Islam itu akan dilihat indah jika melepasi batasan kepentingan ‘orang agama’ dan penguasa namun akan kelihatan tidak indah jika dikendalikan secara tidak seimbang.

EZY