Categories
EKONOMI

BNM keluarkan syiling peringatan sempena Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9.

Dalam kenyataan media, BNM berkata, duit syiling yang dikeluarkan pada 16 Ogos itu terdiri daripada duit syiling perak berwarna pruf, duit syiling peringatan emas Nordic serta set duit syiling dua dalam satu.

BNM berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai dan bagi memastikan peluang sama untuk semua membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian dihadkan, iaitu satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak dan tiga duit syiling emas Nordic bagi setiap pembeli.

“Bagi memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan melalui e-mel kepada [email protected].

“Atau melalui borang tempahan yang boleh didapati di Muzium dan Galeri Seni BNM dan pejabat BNM di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu,” katanya.

Syiling BNM

Tempahan boleh dibuat mulai 29 Ogos 2017 hingga jam 1.00 petang pada 5 September 2017.

“Jika tempatan lebih daripada kuantiti jualan, proses undian akan diadakan. Keputusannya akan diumum pada 8 September 2017 di www.bnm.gov.my dan di Muzium dan Galeri Seni BNM serta pejabat BNM di seluruh negara,” katanya.

Pembeli yang berjaya boleh membayar dan mengambil duit syiling mereka mulai 8 hingga 12 September 2017 di Muzium dan Galeri Seni BNM, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum dan di pejabat bank tersebut di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja).

Pembeli perlu hadir sendiri dan menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah untuk mengambil duit syiling berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mereka boleh hubungi 1-300- 88-5465 (1-300- 88-LINK) atau [email protected].

=EZY=