Categories
NASIONAL

MERCY Malaysia hantar bantuan banjir ke Bangladesh

KUALA LUMPUR 26 OGOS: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) menghantar pasukan ke Bangladesh ketika negara itu bergelut dalam menghadapi banjir paling buruk dalam masa beberapa tahun.

MERCY Malaysia dalam kenyataan media berkata ia menghantar pasukan penilaian pantas terdiri daripada seorang kakitangan MERCY Malaysia, seorang sukarelawan perubatan dan seorang sukarelawan lojistik.

Ia untuk membuat penilaian mengenai keperluan di kawasan bencana dan bersiap siaga bagi penilaian lanjut untuk fasa pemulihan dan intervensi selama dua minggu bermula 25 Ogos hingga 7 September.

Menurut kenyataan, banjir besar yang teruk akibat hujan monsun melanda daerah-daerah di utara Benggala Barat, Bangladesh dengan lebih 100 mangsa dilaporkan maut dan lima juta penduduk terjejas.

MERCY_Malaysia_logo2“Sebanyak 531,517 rumah di 24 daerah mengalami kerosakan, menyebabkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencari penempatan sementara untuk berlindung.

“Banjir yang melanda satu pertiga daripada daerah di negara itu telah menyebabkan peningkatan paras air yang ketara dan pencemaran air.

“Situasi ini menyebabkan penularan penyakit-penyakit bawaan air dan tiada akses kepada kebersihan dan sanitasi serta akses kepada air bersih kerana kebanyakan telaga tiub ditenggelami air banjir.

Ini mendedahkan penduduk yang terjejas kepada pelbagai penyakit bawaan air seperti cirit-birit, jangkitan sistem pernafasan, penyakit kulit, demam kepialu, jangkitan mata, demam kuning, demam dan sakit kepala,” kata kenyataan itu.

MERCY Malaysia amat prihatin terhadap situasi penyakit bawaan air yang bertambah meruncing semasa pasca banjir, kata kenyataan itu.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata MERCY Malaysia amat mengambil berat terhadap keselamatan orang awam yang terjejas akibat banjir buruk yang melanda Bangladesh.

MERCY Malaysia menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan Bangladesh dengan menderma melalui laman web di www.mercy.org.my atau menghubungi MERCY Malaysia melalui telefon 03-21422007.

=EZY=