Categories
SELANGOR

Ceroboh Bukit Broga: Selangor tunggu laporan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Keputusan berkaitan isu pencerobohan Bukit Broga, Semenyih hanya akan dibuat selepas Kerajaan Negeri menerima laporan lengkap daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, beliau menjangkakan laporan berkenaannya akan dikemukakan, pada minggu hadapan.

“Semalam, PDT Hulu Langat mengadakan mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendapat maklum balas berkenaan tindakan mereka menceroboh serta meneroka tanah Kerajaan Negeri.

“Hasil daripada mesyuarat itu, PDT Hulu Langat akan menyiapkan kertas siasatan lengkap untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan kita akan buat keputusan berdasarkan laporan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sudah memberi amaran kepada RISDA dan JAKOA ekoran tindakan memasuki dan meneroka kawasan tanah kerajaan itu tanpa kebenaran.

elizabeth-wong-2“PDT Hulu Langat sudah mengeluarkan notis berhenti kerja (stop work order) kepada kedua agensi itu, maka mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja di kawasan terbabit,’ katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab jika terbukti berlaku pencerobohan tanah secara haram di Bukit Broga, Semenyih.

Dilaporkan, Bukit Broga yang terkenal dengan aktiviti pendakian kini dipercayai diceroboh dan diteroka dengan sebahagian kawasan hijaunya menjadi gondol ekoran pertanian juga pembangunan.