Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Langgar SOP, Bukit Broga ditutup dua minggu

KAJANG, 25 JUN: Bukit Broga, Semenyih ditutup dua minggu kepada orang ramai berkuat kuasa Sabtu ini ekoran pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata penutupan sementara lokasi pendakian terkenal itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor semalam.

“Kita sudah buka semula (Bukit Broga) untuk aktiviti pendakian tetapi orang ramai tidak memahami SOP, maka tindakan (penutupan) sewajarnya dibuat kerana mereka (pendaki) tidak prihatin keadaan semasa Covid-19 terutama ketika kerajaan sedang berusaha mengekangnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengehadkan bilangan pengunjung daripada memasuki kawasan rekreasi itu bagi mengelak insiden sama berulang termasuk bekerjasama dengan polis serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk memantau pematuhan SOP.

“Bagaimanapun, orang ramai terus diingatkan supaya tidak sesekali melanggar peraturan selain sentiasa mengawal penjarakan sosial ketika mendaki,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, tular di media sosial menunjukkan Bukit Broga sesak dikunjungi orang ramai selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti sukan dan rekreasi termasuk mendaki bermula 15 Jun tertakluk pematuhan SOP.

Categories
SELANGOR

Isu Bukit Broga, MPKj perketat aspek keselamatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Aspek keselamatan di Bukit Broga diperketatkan sebagai jaminan insiden membabitkan kemalangan pendaki di kawasan riadah itu, tidak berulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Sayuthi Bakar berkata, aspek keselamatan diberi perhatian menyeluruh terutamanya di kawasan hotspot dan laluan pendakian.

“Tumpuan aspek keselamatan di kawasan laluan pendakian diberi perhatian memandangkan sebelum ini pendaki tidak dimaklumkan kawasan hotspot laluan Bukit Broga.

“Di peringkat cadangan, selepas kajian dan proses piawaian ditetapkan, MPKj menilai semula sebarang keperluan terhadap keselamatan pendakian di Bukit Broga,” katanya pada sidang media di Menara MPKj, semalam.

Terdahulu, dilaporkan berlakunya beberapa insiden membabitkan beberapa kes pendakian di bukit berkenaan.

Kes terkini melibatkan dua penuntut Universiti Nottingham yang sesat ketika mendaki di puncak bukit berkenaan.

Dalam kejadian lain, turut dilaporkan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Melaka terjatuh ketika turun dari puncah pertama Bukit Broga, Semenyih, tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Bukit Broga diwartakan kawasan rekreasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 19 OGOS: Kerajaan Negeri mewartakan Bukit Broga sebagai kawasan rekreasi seperti diperuntukan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis baru-baru ini.

“Pada masa sama, lot tanah Sakai Land Fruit Trees dan Sakai Dusun yang jumlah keseluruhan kawasannya seluas 31 ekar seperti catatan pada Pelan Akui 18083 dikekalkan bagi kegunaan komuniti Orang Asal,” katanya.

Elizabeth Wong berkata demikian pada Sidang Media Penutupan Rasmi Bukit Broga yang diadakan di tapak meletak kenderaan di kaki bukit berkenaan di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri komited memulihara alam semula jadi di Bukit Broga disamping menjaga kepentingan masyarakat Orang Asal kawasan terbabit.

IMG_1174Terdahulu pada sidang media sama, Elizabeth Wong mengumumkan Bukit Broga secara rasmi ditutup semalam bagi memberi laluan kerja pemulihan ekoran kesan penerokaan haram.

Penutupan itu dijalankan sehingglah kerja pemulihan selesai sepenuhnya yang dijangka memakan masa selama tiga bulan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bukit Broga ditutup tiga bulan untuk baik pulih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 19 OGOS: Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bermesyuarat pada 17 Ogos memutuskan menutup sementara waktu semua aktiviti rekreasi dan pelancongan di Bukit Broga berkuatkuasa serta merta.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata, penutupan dijangka selama tiga bulan itu dibuat bagi memberi laluan kerja pemulihan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM1 juta dijalankan di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 143 ekar itu.

IMG_1114“Penutupan ini adalah perlu bagi memastikan keselamatan pengunjung yang mendaki dan berekreasi di Bukit Broga serta mengelakkan sebarang perkara diingini berlaku akibat penerokaan tanah berkenaan.

“Pada masa ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menganggarkan kerja pemulihan dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan, namun Kerajaan Negeri akan mengumumkan sekiranya terdapat pindaan tempoh disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Penutupan Rasmi Bukit Broga yang diadakan di tapak meletak kenderaan di kaki bukit berkenaan, semalam.

Jelasnya, antara kerja pemulihan dirancang adalah membina longkang tanah bagi pengaliran air hujan supaya tidak menjejaskan cerun secara langsung, menanam rumput bagi mengelakkan hakisan, pengindahan lanskap dan beberapa kerja lain.

Katanya, selain JKR Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut terlibat dengan kerja baik pulih itu nanti.

“RM900,000 diperuntukan kepada JKR Hulu Langat dan RM100,000 lagi kepada MPKj. Bagaimanapun ini hanya anggaran awal dan kos sebenar akan diketahui apabila kita mendapat perincian sebenar daripada agensi terlibat.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga mempertimbangkan cadangan menaik taraf rizab jalan sedia ada ke Bukit Broga,” katanya lagi.

Terdahulu, Bukit Broga diteroka secara haram oleh sebuah agensi Kerajaan Persekutuan bagi projek penanaman pokok getah.

Akibat penerokaan haram itu, cerun bukit terbabit ditarah dan dijadikan teres untuk projek penanaman pokok getah.

Categories
SELANGOR

Ceroboh Bukit Broga: Selangor tunggu laporan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Keputusan berkaitan isu pencerobohan Bukit Broga, Semenyih hanya akan dibuat selepas Kerajaan Negeri menerima laporan lengkap daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, beliau menjangkakan laporan berkenaannya akan dikemukakan, pada minggu hadapan.

“Semalam, PDT Hulu Langat mengadakan mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendapat maklum balas berkenaan tindakan mereka menceroboh serta meneroka tanah Kerajaan Negeri.

“Hasil daripada mesyuarat itu, PDT Hulu Langat akan menyiapkan kertas siasatan lengkap untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan kita akan buat keputusan berdasarkan laporan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sudah memberi amaran kepada RISDA dan JAKOA ekoran tindakan memasuki dan meneroka kawasan tanah kerajaan itu tanpa kebenaran.

elizabeth-wong-2“PDT Hulu Langat sudah mengeluarkan notis berhenti kerja (stop work order) kepada kedua agensi itu, maka mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja di kawasan terbabit,’ katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab jika terbukti berlaku pencerobohan tanah secara haram di Bukit Broga, Semenyih.

Dilaporkan, Bukit Broga yang terkenal dengan aktiviti pendakian kini dipercayai diceroboh dan diteroka dengan sebahagian kawasan hijaunya menjadi gondol ekoran pertanian juga pembangunan.

Categories
SELANGOR

Pencarian mangsa hilang di Bukit Broga diteruskan

SHAH ALAM 28 JAN: Pencarian Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih, dekat sini, Ahad lepas, diteruskan walaupun pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian ditutup.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pasukan SAR sentiasa bersiap sedia di pangkalan dan boleh digerakkan setiap masa manakala operasi SAR akan diteruskan melalui kaedah yang lain bagi mencari manga berusia 20 tahun itu.

“Dakwaan pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) yang mengatakan pasukan menyelamat akan menghentikan operasi semalam dan memberi persetujuan kepada pihak lain untuk meneruskan pencarian adalah tidak benar,” katanya lapor BERNAMA.

Othman berkata, pihak berkuasa tidak menghalang sekiranya terdapat pihak yang mahu meneruskan khidmat mencari mangsa secara sukarela.

Beliau berkata, keputusan menutup pusat kawalan dibuat selepas perbincangan dengan pasukan menyelamat terlibat berikutan operasi mencari telah dilakukan di lokasi itu secara menyeluruh.

Katanya, pencarian telah dijalankan secara terperinci meliputi jarak 13 kilometer ke Barat, tujuh kilometer ke Timur dan tujuh kilometer dari permulaan pendakian ke sempadan hutan Jelebu sepanjang operasi dijalankan.

“Semasa operasi SAR dijalankan sejak Ahad, pasukan menyelamat telah merujuk peta lokasi dan kami percaya tiada lokasi lagi yang tidak digeledah bagi mencari mangsa,” katanya.

Semalam, operasi SAR disambung pada pukul 8 pagi dengan kekuatan 117 anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan (K9), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), MOSAR, Pejabat Daerah, dan orang asli beserta penggunaan tiga unit dron.

Pasukan penyelamat telah digerakkan dengan menumpukan pencarian di lokasi berisiko dan lokasi terakhir Mohd Azarul Mukriz dilihat berdasarkan maklumat lima rakannya yang turut mendaki bukit berkenaan bersamanya.

Mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya pada 6 petang, Ahad lepas.

=EZY=

PBT Disaran Teroka Teknologi Baru Urus Sisa Pepejal

SUBANG JAYA,3 JULAI : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengambil inisiatif meneroka teknologi baru dalam pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif, mampan dan mesra alam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, PBT boleh belajar pengurusan sisa pepejal daripada negara luar seperti Australia dan German.

Negara itu melaksanakan pengurusan yang lebih efektif dalam menangani masalah sampah melalui pendekatan penggunaan teknologi dan jentera yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal.

Jelas beliau tahap kebersihan di negeri ini antara yang terbaik seraya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani isu kebersihan.

Namun usaha untuk menambahbaik tahap kebersihan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Kerajaan Negeri juga akan menggunakan teknologi baru dalam pengurusan tapak sisa pepejal yang mesra alam dan pada kos yang munasabah.

“Kini di Selangor sudah mempunyai kira-kira 100 buah lori kompaktor dan Kerajaan Negeri yang boleh disewakan pada kadar RM6,500 sebulan yang dikira rendah berbanding sewaan daripada pihak swasta,” jelas Ronnie semasa Majlis Dialog Bajet 2013 berkenaan Pendekatan Baru Pengurusan Sisa Pepejal : Kajian Kes Di Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini.

Majlis Dialog itu bertujuan mengumpulkan pandangan pelbagai pihak dalam memberikan input dan cadangan yang akan dilaksanakan dalam Bajet 2013 Selangor dalam penambahbaikan pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

Tambah Ronnie, pembinaan Loji Insinerator yang dicadangkan Kerajaan Pusat sebelum ini tidak sesuai dibangunkan di negara ini kerana kosnya terlalu tinggi serta menghasilkan pencemaran udara yang boleh memudaratkan masyarakat setempat.

Beliau merujuk kepada cadangan Kerajaan Pusat sebelum ini yang berhasrat membina Loji Insinerator di Bukit Broga yang mencecah kos RM1.5 bilion yang mendapat bantahan pelbagai pihak ekoran kos yang terlalu tinggi, jangka hayat loji yang rendah serta boleh menjejaskan kesihatan kepada masyarakat setempat.

“PBT juga perlu menghargai pekerja kontraktor pengurusan sampah dengan menjalinkan kerjasama erat dengan mereka dengan mengadakan pertemuan secara berkala untuk mengukuhkan semangat bekerjasama satu pasukan,” kata Ronnie.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Datuk Roslan Sakiman berkata,masyarakat perlu menukar paradigma pemikiran berkenaan kaedah pembuangan sampah melalui sistem pengasingan sampah yang boleh dikitar semula pada sesuatu masa.

Beliau menjelaskan bagaimana di Jepun, sistem pengumpulan sampah yang telah diasingkan mengikut kategori tertentu untuk tujuan kitar semula yang boleh dipraktikkan untuk kawasan perumahan baru nanti.

Kira-kira 50 orang hadir yang mewakili pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan dalam sesi dialog itu.