Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

JKM sedia lindung mangsa seksual bapa

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberi perlindungan kepada remaja yang menjadi mangsa jenayah seksual bapa kandungnya, sementara kes itu diselesaikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata,
pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terlibat berhubung kes itu.

“Sekarang ini memang kita tidak boleh mengganggu siasatan tetapi apa jua diarahkan mahkamah juga polis, kami akan memberikan kerjasama.

“Selalunya dalam keadaan begini, jika tiada keluarga paling rapat atau mereka rasa tidak mampu melindungi kanak-kanak ini, JKM akan ambil untuk diberi perlindungan sementara,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau sebelum itu ditemui selepas menghadiri majlis minum petang sempena ulang tahun ke-48 majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn Bhd, di sini, semalam.

Pada 9 Ogos lalu, seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak atas lebih 600 pertuduhan meliwat, merogol dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun.

Pada 10 Ogos lalu, bapa berkenaan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan 444 pertuduhan meliwat anak perempuan kandungnya sebanyak tiga kali sehari selama tujuh bulan sejak Januari hingga Julai lalu.