Categories
PBT SELANGOR

KDEWBWM siap sedia ambil alih PBT lain

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) kini sedang membuat perancangan rapi bagi mengambil alih pengurusan sisa pepejal di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pada 2018.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, ia termasuk membuat perkiraan ke atas inventori selain merumus model baru selaras dengan peruntukan PBT terbabit.

Katanya, KDEBWM juga memberi jaminan untuk mengekalkan standard sama seperti operasinya di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kami kini dalam proses perancangan untuk mengambil beberapa PBT tahun hadapan dan akan terus membuat pelaburan juga sistem baru.

KDEBWM KOMPAKTOR (2)“Ia termasuk mengguna pakai kaedah pengurusan baru bagi menaik taraf sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan dan efektif, di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan Belanjawan Selangor 2018 antara lain akan memfokuskan kepada usaha meluaskan operasi KDEBWM bagi pengurusan sisa pepejal di PBT lain selepas kejayaan di MPK, MPAJ dan MPS.

Ramli berkata, pihaknya juga memberi jaminan untuk memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan prinsip ‘Smart Waste Management’.

“Sebagai anak syarikat 100 peratus milik Kerajaan Negeri, kami hanya melaksanakan amanah diberikan dengan sasaran memuaskan hati rakyat dengan perkhidmatan kelas pertama.

“Terima kasih atas kepercayaan Kerajaan Negeri dan sokongan semua pihak untuk bersama memastikan Selangor bersih juga maju,” katanya.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan hampir 800 aduan diterima dan berjaya menurunkan sehingga tujuh aduan sahaja, pada Jun lalu.

Pada Mac lalu, syarikat itu kemudiannya diberi tugas mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPS dan MPAJ.

Pada awal perkhidmatan, aduan di MPS mencecah sehingga 1,249 aduan, namun menurun kepada 85 pada Julai lalu sementara di MPAJ aduan menurun kepada enam, daripada 227 yang dicatatkan, pada Mac lalu.