Categories
KENYATAAN MEDIA

Rugi dan merumitkan bila kemajuan digital tidak diaplikasi

OLEH LEE CHEAN CHUNG

Saya ambil maklum mengenai situasi semasa mengenai perlawanan akhir bola sepak yang akan menemukan pasukan Malaysia menentang Thailand pada 29 Ogos 2017, jam 8.45 malam di Stadium Shah Alam, Selangor.

Meskipun perlawanan ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, berikutan penentuan pingat emas dan perak. Saya berasa amat dukacita mengenai sistem penjualan tiket yang disediakan bagi perlawanan akhir ini.

Merujuk pada surat rasmi yang dikeluarkan oleh Sekretariat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertarikh 27 Ogos yang lalu, tiket yang dijual melalui kaedah manual, di mana penyokong bagi kedua-dua pihak perlu hadir dan beratur di stadium bagi membeli tiket perlawanan dan tiada penyediaan tiket atas talian sebagai alternatif.

3582b51c-5b30-4396-bd0d-84c252e2ba39Pengumuman yang dibuat saat-saat akhir ini telah menimbulkan rasa kecewa dan marah daripada penyokong bola sepak negara. Apatah lagi bagi penyokong yang tinggal jauh dari luar kawasan Lembah Klang.

Seperti yang sering diungkapkan oleh penyokong, kemajuan teknologi digital pada hari ini perlu diaplikasikan dalam sistem penjualan tiket. Begitu ruginya produktiviti rakyat dan pekerja apabila puluhan ribu penyokong terpaksa beratur panjang di perkarangan stadium untuk membeli tiket. Bahkan ada yang terpaksa ‘berkampung’ sejak malam hari sebelum hari penjualan tiket untuk merebut tiket yang amat terhad.

Mengapa begitu sukar penganjur untuk mencontohi sistem penjualan tiket atas talian yang diamalkan oleh negara-negara maju seperti Eropah dan Jepun? Sistem sebegini telah diterapkan dalam kempen liga-liga besar untuk memastikan penyokong tidak perlu bersusah payah untuk menghabiskan masa untuk beratur membeli tiket.

Adakah penganjur berbangga melihat ribuan orang ramai bersesak-sesak membeli tiket? Adakah penganjur berasa puas apabila terdapat penyokong yang telah beratur berjam-jam lamanya namun gagal mendapatkan tiket perlawanan?

Begitu sukar untuk menggambarkan realiti apabila taktala penyokong dari golongan rakyat kebiasaan terpaksa beratur, terdapat sebahagian besar pihak lain yang memperoleh tiket dengan cara yang lebih mudah tanpa perlu mengorbankan masa dan tenaga.

052242da-5fba-4ba3-bf98-c94d474d8297Dikatakan juga bahawa tiket jualan telah habis dijual dalam tempoh tiga jam, sehinggakan berlaku perbalahan antara pihak penyokong dan penjual tiket. Apa yang sebenarnya terjadi?

Fenomena ‘ulat tiket’ dilihat gagal diatasi oleh penganjur kerana terdapat segelintir pihak yang dilaporkan mendapat tiket lebih awal dari waktu penjualan tiket dan kemudian menjualnya dengan harga lebih tinggi daripada harga asal (iaitu RM21.20).

Sementara ribuan yang beratur di stadium tidak percaya bahawa jualan tiket akan laris dalam tempoh yang sangat singkat. Bagaimana kejadian ini berlaku, sedangkan setiap transaksi pembelian hanya melibatkan maksimum kuota lima tiket?

Keadaan ini sudah pasti akan menjatuhkan reputasi penganjur yang gagal melaksanakan sistem penjualan tiket yang sistematik. Tambahan pula, Malaysia yang menjadi tuan rumah kejohanan Sukan Sea 2017 dilihat terpaksa menghadapi pelbagai masalah seperti isu kesilapan bendera, kebajikan pemain luar dan pertukaran tempat perlawanan pada saat-saat akhir.

sukan sea klSukan sepatutnya dilihat sebagai platform penyatuan, bukannya menjadi perkara yang membebankan pelbagai pihak. Apatah lagi dalam soal penjualan tiket ini, ianya melibatkan rakyat tempatan yang menyokong pasukan kebangsaan.

Diharapkan dengan teguran ini, pihak penganjur Sukan SEA dan juga secara tidak langsung penganjur perlawanan bola sepak tempatan (seperti Liga dan Piala Malaysia) akan menambah baik sistem penjualan tiket. Adalah lebih baik sekiranya penjualan dibuat menerusi atas talian sepenuhnya.

Malah, diharapkan kuota pengagihan tiket kepada VIP dan penaja diminimumkan bagi memberi peluang kepada rakyat kebiasaan untuk menonton secara langsung di stadium terutama melibatkan perlawanan – perlawanan tumpuan.

* Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu & Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN