Categories
PBT SELANGOR SUKANKINI

Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ diiktiraf Persatuan Lawn Tenis Malaysia

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 17 OGOS: Lebih 200 remaja dari seluruh negara dijangka menyertai Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ – Milo Siri Ke-28, pada 26 Ogos hingga 30 Ogos ini.

Kejohanan pada tahun ini turut diiktiraf Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sebagai kejohanan bertaraf ranking remaja kebangsaan.

Ia bermakna, setiap pemain yang menyertai kejohanan layak mendapat jumlah mata (point) untuk dimasukkan ke dalam ranking LTAM.

DSC_1009Kejohanan terbahagi kepada empat kategori iaitu, Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan, Beregu Lelaki dan Beregu Perempuan berumur antara lapan hingga 16 tahun.

Ia diadakan di empat lokasi iaitu Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya; SS 3/14, Kelana Jaya, Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dan Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya.

Mula dianjurkan pada 1990, kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM7,620 serta medal dan barangan tajaan penaja.

Disokong penuh Majlis Sukan Negeri Selangor, ia mendapat tajaan utama Nestle Products (M) Sdn Bhd (MILO) dengan penaja bersama, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd (100 plus)
dan Amer Sports Malaysia Sdn Bhd (WILSON).