Categories
SELANGOR

Pengalaman, persediaan faktor kebakaran hutan dipadam awal

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 18 OGOS: Pengalaman lalu dan persiapan awal merupakan faktor utama kebakaran membabitkan kawasan seluas 235 ekar Hutan Simpan Kuala Langat Utara berjaya dikawal dan dipadam lebih cepat berbanding kejadian pada 2015.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata kebakaran yang bermula pada 3 Ogos itu ditamatkan petang semalam iaitu selepas 13 hari operasi pemadaman dijalankan sejak 4 Ogos lalu.

“Ada beberapa faktor, antaranya pelan tindakan lebih berkesan dan kelengkapan lebih baik berbanding 2015 di mana pada masa itu kita tiada ‘tube weld’, sumber air agak sukar berbanding sekarang kita cepat dapat air untuk membuat pemadaman dan membanjirkan kawasan ini.

KEBAKARAN“Kali ini kita juga dapat memastikan tahap air yang tinggi. Pada 2015 mengambil masa lebih kurang 45 hari dengan kekuatan anggota kira-kira 1,000 daripada pelbagai agensi termasuk lebih 300 anggota PBPM daripada pelbagai negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Timbalan Ketua Zon Selangor Selatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abu Bakar Kadir ketika melawat operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara di sini, semalam.

Katanya, selain usaha pemadaman secara terus, kaedah ‘fire break’ atau peparitan juga berkesan menghentikan api merebak, empat buah ‘tube weld’ untuk mengepam air bawah tanah bagi membanjiri permukaan tanah dan mengairi peparitan yang dibina, dron dan pengeboman air selama enam jam.

Jelas Elizabeth Wong, pada 2016 tiada kebakaran hutan dicatatkan ekoran penggunaan kaedah sama.

KEBAKARAN 1Katanya lagi, operasi diketuai JBPM itu dijalankan selama 24 jam tanpa henti dengan melibatkan lebih sembilan agensi kesemuanya.

Selain JBPM, agensi lain terlibat adalah adalah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Gamuda dan lain-lain.