Categories
SELANGOR

Kekayaan tidak kekal kalau pentadbiran amal rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 OGOS: Sesuatu kemajuan tidak akan bertahan walaupun dibangunkan sejak sekian lama jika pemerintah mengamalkan urus tadbir rakus dan bergelumang rasuah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara pernah berhadapan kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri tetapi mampu menjana pertumbuhan positif.

“Kalau maju sebelum Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui Kerajaan Negeri, tidak semestinya berterusan jika pentadbiran rasuah dan rakus.

“Bawah (pentadbiran) Anwar dulu keadaan cukup baik dapat jana pertumbuhan positif tetapi keadaan sekarang tidak begitu, hutang negara bertimbun dan keadaan rakyat semakin susah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2017 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz.

Katanya, sistem pendatbiran yang baik menyaksikan banyak kemajuan dibawa selepas 2008 apabila PAKATAN mengambil alih pentadbiran Selangor.

“Zaman (Tun) Dr Mahathir walaupun gawat tahun 1997 dan 1998, tidak mengenakan GST kepada rakyat. Jadi tidak semestinya kekayaan sebelum itu berterusan kalau kepimpinan rasuah.

“Apabila PAKATAN ambil langkah segera pastikan pentadbiran mengamalkan kebertanggungjawaban dan integiriti, rizab semakin besar serta tidak menguncup,” katanya.