Categories
GLOBAL

3.5 juta bangkit sertai tentera pertahan Korea Utara

PYONGYANG, 14 OGOS: Sekurang-kurangnya 3.5 juta rakyat Korea Utara menyertai tentera dalam mempertahankan negara itu sekirannya peperangan tercetus dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan diterbitkan akhbar Rodong Sinmun, seramai 89,000 pemuda dari wilayah Hwanghae memohon berkhidmat dalam tentera pada 9 Ogos lalu.

Manakala lebih 20,000 pelajar, anggota parti dan buruh dari daerah Daedong di wilayah Pyongan Selatan mendaftar bagi tujuan sama.

“Seluruh rakyat bangkit untuk melancarkan serangan balas beribu kali terhadap Washington. Mereka yang telah mendaftar untuk menyertai tentera Pyongyang termasuk askar bersara dan pelajar,” menurut laporan agensi itu.

Sejak beberapa hari lalu, perang retorik telah tercetus antara AS dan Korea Utara yang mana kedua-dua belah pihak mengancam mengambil tindakan ketenteraan terhadap satu sama lain.

Jumaat lalu, China, Rusia dan Jerman turut beri amaran terhadap Washington dan Pyongyang berhubung perang retorik tersebut yang dikhuatiri mencetuskan peperangan sebenar.

– Press TV