Categories
GLOBAL

Konflik di Myanmar semakin kritikal, penduduk larikan diri

COX’S BAZAR 26 OGOS: Penduduk yang ketakutan cuba melarikan diri dari perkampungan terpencil di negeri utara Myanmar di Rakhine ke Bangladesh, ketika pertempuran memuncak antara pemberontak Rohingya dan anggota keselamatan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Tentera Myanmar didakwa melepaskan tembakan ke arah etnik Rohingya, menurut wartawan AFP dan pengawal sempadan Bangladesh.

Wartawan itu berkata, ratusan penduduk Rohingya menyeberangi sempadan ke Bangladesh apabila pengawal sempadan berehat ketika hujan lebat, dengan sesetengahnya berenang menyeberangi Sungai Naf.

Seorang doktor berkata, dua lelaki Rohingya yang ditembak di Myanmar masuk ke Bangladesh serta dibawa ke hospital.

“Seorang daripada mereka, berusia 25 tahun, maut beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital,” kata doktor yang enggan dikenali.

Rakhine menjadi fokus utama kebencian agama membabitkan minoriti Islam Rohingya, yang dianggap pendatang haram di Myanmar.

Keganasan terbaru menyebabkan sekurang-kurangnya 92 maut sejak awal semalam, memaksa ribuan penduduk awam melarikan diri.

Dipinggirkan di Myanmar, etnik Rohingya juga ditolak di Bangladesh yang sudah menempatkan puluhan ribu pelarian terbabit.

Menurut pihak berkuasa, hingga 2,000 wanita dan kanak-kanak Rohingya berkumpul di di sempadan Bangladesh hari ini, namun tidak dibenarkan masuk.

Dalam tindakan terdesak, ramai dibiarkan tanpa perlindungan di sempadan atau terpaksa kembali ke perkampungan, terperangkap di tengah pertempuran pemberontak dan pasukan keselamatan.

“Semua adalah wanita dan kanak-kanak. Melihat pengawal sempadan, mereka tidak dapat memasuki Bangladesh,” kata Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh di bandar Ukhia, Manzurul Hassan Khan.

=EZY=