Categories
PBT SELANGOR

MDKL lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengikut jejak langkah pihak berkuasa tempatan lain menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, langkah itu sebagai komitmen MDKL secara serius membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan memperkasa integriti.

“Atas kesedaran menjadikan integriti sebagai amalan seharian, kami percaya dan yakin ketelusan adalah elemen yang dapat mewujudkan persekitaran kerja kondusif serta pembudayaan nilai dalam MDKL.

“MDKL tidak akan berkompromi jika ada warga kerja terpalit dengan unsur rasuah yang boleh menjejaskan reputasi kerja,” katanya selepas Majlis Menandatangani IBR bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 2015, MDKL menubuhkan unit integriti yang berperanan memastikan urus tadbir PBT itu dilaksanakan secara efektif dan pelaksanaan nilai integriti selaras Pelan Integriti Nasional.

Pada masa sama, Mohamad Zain menyeru warga kerja MDKL supaya menjaga etika, memelihara integriti dan berusaha ke arah lebih baik.

“Saya mahu kakitangan MDKL mendahulukan tugas diamanahkan berbanding perkara tidak berfaedah dan berkepentingan,” katanya.