Categories
NASIONAL

NCCC: Kerugian pengguna lebih RM255 juta

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 29 OGOS: Sebanyak 48,563 aduan pengguna diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sepanjang 2016 iaitu peningkatan 8.6 peratus berbanding 2015 membabitkan kerugian RM255,623,706.

Pengurus Kanan, Dasar dan Perundingannya, Shabana Naseer Ahmad berkata, laporan itu merupakan kali ke 11 dikeluarkan NCCC.

Katanya, ia meliputi semua jenis aduan merentasi 22 sektor yang berbeza hasil daripada pembelian barangan atau perkhidmatan pengguna.

“Laporan tahunan NCCC merekodkan sektor E-Dagang (Online Shopping) menerima aduan tertinggi pada 2016 iaitu 7,371 aduan.

IMG_20170829_115349“Manakala aduan tertinggi diikuti Produk Pengguna Am mencatatkan 6,578 aduan dan sektor perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar sebanyak 5,681,” katanya ketika sidang media Laporan Aduan Pengguna NCCC 2016, di Petaling Jaya, hari ini, di sini.

Selain itu, NCCC juga menerima 3,874 aduan terhadap industri automobil dan bengkel kenderaan.

“Walaupun aduan industri mendapat di kedudukan keempat, namun ia mencatatkan anggaran nilai kerugian kewangan tertinggi iaitu RM79,181,869.

“Pengadu mendakwa bahawa industri itu hanya berminat membuat keuntungan dan janji kosong semasa jualan,” katanya.

Shabana berkata, industri pelancongan pula merekodkan 3,458 aduan melibatkan isu agensi yang sering memberi janji palsu untuk mendapatkan pelanggan dan kemudiannya menutup perniagaan tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna menengakkan hak mereka dengan membuat aduan bertujuan meningkatkan perlindungan pengguna serta memastikan pengeluar dan peruncit meningkatkan kualiti dan produk.