Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

PEKA: Perbanyakkan pokok demi lestari alam sekitar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 OGOS: Selangor diharap tidak terbuai dengan arus pembangunan pesat sehingga mengabaikan kepentingan penjagaan alam sekitar.

Presiden Petubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Aki berkata, pembangunan terlalu pesat di Malaysia menyaksikan alam sekitar diketepikan sehingga membawa kesan negatif kepada kehidupan di muka bumi.

Katanya, Kerajaan Negeri boleh mengambil iktibar berkenaan dan memastikan usaha ‘memberi balik’ kepada alam dilaksanakan, seterusnya mengimbangi kepentingan pembangunan dan alam sekitar.

“Banyak yang Selangor boleh lakukan seperti menanam lebih banyak pokok dan mengadakan pertandingan di antara daerah, yang mana lebih banyak pokok dan kawasan teduh.

“Pokok yang banyak bukan sahaja mencantikkan pemandangan, malah ia memberi udara segar, cuaca lebih sejuk, kurangkan jerebu dan sebagainya,” katanya kepada SelangorKini.

Sabrina berkata, sesebuah kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri juga perlu memperbanyak usaha membina taman riadah rakyat.

“Kita dapat lihat kita kurang taman riadah untuk anak-anak bermain dengan selamat dan melakukan aktiviti sihat.

“Jadi, kita sangat berharap Selangor dapat bina lebih banyak taman, bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi untuk semua peringkat umur agar dapat memperbanyak aktiviti bermanfaat,” katanya.

=EZY=