Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

PEKAWANIS: Sihat untuk keluarga

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 OGOS: Wanita perlu melakukan aktiviti senaman dalam usaha memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap terbaik demi keluarga tercinta.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin berkata, ia merupakan sesuatu yang perlu ‘dipaksa’ walaupun dalam keadaan berat.

Katanya, wanita boleh mengamalkan pelbagai jenis dan kaedah senaman menyeronokkan untuk mendisiplinkan mereka dengan rutin itu.

“Saya setuju jika dikatakan wanita perlu sayangi diri sendiri dahulu, iaitu tubuh badan kita sebelum suami dan anak-anak.

IMG_20170820_105740“Kalau kita sakit, bagaimana kita mahu melakukan perkara lain untuk orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesihatan PEKAWANIS bersama Women’s Sports & Fitness Foundation Malaysia (WSFFM), di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Disertai kira-kira 100 wanita, program sulung itu turut disertai Presiden WSFFM, Puan Seri Sabrina Syed Akil.

Shamshida berkata, pihaknya juga sudah merancang untuk mengadakan program serupa pada skala lebih besar pada masa akan datang.

“Walaupun pertama kali, kita terima pelbagai respon positif yang mahukannya lagi.

“Untuk penganjuran akan datang, kita mensasarkan penyertaan lebih ramai lagi,” katanya.

Program hari ini menyelitkan tiga jenis senaman iaitu Fitness Drumming, Stick2Stix dan Aerodance.

Terdahulu, Shamshida turut dikejutkan dengan nyanyian lagu ‘Happy Birthday’ dan kek harijadi sempena ulang tahun kelahirannya yang jatuh semalam ke-52.

=EZY=