Categories
EKONOMI SELANGOR

Kumpulan Perangsang capai prestasi baik, hasrat teroka pasaran baru

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 DIS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Kumpulan Perangsang) mencatat prestasi kewangan baik dengan perolehan RM85.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, berbanding RM35.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, ia mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14.7 juta, mengatasi catatan tahun lalu dalam tempoh sama, dengan kerugian sebelum cukai (RM18.0 juta) daripada RM35.5 juta diperoleh.

“Berbanding dengan tempoh sama pada suku tahun berakhir 30 September tahun lalu, Kumpulan Perangsang mencatatkan pengembangan kukuh di segmen perniagaannya dengan pencapaian hasil lebih tinggi dalam segmen perdagangan dan pelesenan serta sumbangan baru dari segmen perkilangan dan infrastruktur juga utiliti,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hassan.

Beliau berkata, segmen pembuatan terdiri daripada pengeluaran bungkusan simen di bawah Century Bond Berhad (CBB) merangkumi RM45.0 juta atau 52.5 peratus manakala segmen pelesenan di bawah King Koil Licensing Company Inc (King Koil) menyumbang RM8.4 juta (9.8 peratus) daripada pendapatan dilaporkan sebanyak RM2.5 juta yang mana ia sumbangan pendapatan sulung sejak menjadi anak syarikat Kumpulan Perangsang pada 22 Jun lalu.

Katanya, bagi segmen dagangan pula melalui Aqua-Flo Sdn Bhd dengan catatan jualan 8.7 peratus lebih tinggi sebanyak RM26.3 juta berbanding RM24.2 juta sebelumnya, dengan kejayaan dalam kontrak bekalan kimia air manakala baki RM3.4 juta diperoleh daripada pemegangan pelaburan dan segmen pelaburan hartanah.

“Bahagian keuntungan syarikat bersekutu melaporkan perubahan memberangsangkan dengan RM20.2 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding catatan kerugian RM16.0 juta setahun lalu dengan sumbangan lebih tinggi daripada Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad.

“Mengenai strategi seterusnya, kita dalam proses mengorientasikan segmen perniagaan bagi menekankan pengembangan sama ada untuk memperoleh pelanggan baru dan pasaran geografi atau memperbaiki margin dengan cara mampan melalui gerakan rantaian nilai, mengukuhkan kecekapan operasi atau menambah nilai tambah perkhidmatan.

“Pada masa sama, kita giat meneroka latihan penggabungan dan pembetulan lebih lanjut bagi mengukuhkan portfolio kumpulan dengan perniagaan yang kukuh pada asasnya untuk terus menggerakkan Kumpulan Perangsang ke hadapan dalam pelan transformasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fariz berkata, Kumpulan Perangsang mencapai hasil pendapatan sebanyak RM238.3 juta pada sembilan bulan berakhir pada 30 September lalu berbanding RM81.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, melalui sumbangan terbaru daripada CBB dan King Koil.

“Keuntungan teras Kumpulan Perangsang sebelum cukai meningkat 82.0 peratus kepada RM74.6 juta dalam tempoh dinyatakan berbanding RM41.0 juta (tidak termasuk keuntungan sebanyak RM97.5 juta pada aset dipegang untuk pelupusan) dalam tempoh sama tahun lalu.

“Keuntungan bersih teras meningkat 131.8 peratus kepada RM67.7 juta berbanding RM29.2 juta tempoh sama, sebelumnya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Perangsang anjur latihan keselamatan cegah lemas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Lebih 1,300 pelajar menyertai Program Keselamatan Air dan Pencegahan Lemas anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6, Kota Damansara, baru-baru ini.

Penolong Kanan Kokurikulumnya, Ramli Tausa berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran berhubung aspek keselamatan ketika berada di dalam air serta langkah mengelakkan kejadian lemas.

“Kami amat mengalukan program seperti ini kerana ia sangat baik dan berharap ia dapat diperluaskan ke sekolah lain.

“Dengan pendedahan seperti ini, pelajar dan guru dapat mempelajari teknik asas bantuan kecemasan kerana bantuan awal seperti ‘CPR’ adalah kritikal untuk menyelamatkan mangsa lemas,” katanya, lapor Perangsang dalam kenyataan.

Program kendalian Supersharkz Swim School itu adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perangsang di bawah program ‘Sukan Untuk Semua’, Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

BN5A5998Ia mensasarkan sekolah yang berminat mendapatkan maklumat serta latihan kecemasan berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam dan CSR Perangsang, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, pihaknya mensasarkan 5,200 penyertaan pelajar menerusi empat siri kempen keselamatan dan pencegahan di sekolah seluruh Selangor, tahun ini.

Katanya, sasaran itu turut merangkumi penyertaan Karnival Renang ‘I Can Swim’ serta klinik renang secara mingguan untuk kanak-kanak kelainan upaya di tiga lokasi iaitu Shah Alam, Kota Damansara dan Puchong.

“Kempen di sini (SK Seksyen 6) merupakan siri ketiga selepas penganjuran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 dan SK Bukit Beruntung 2 dengan penglibatan seramai 2,557 pelajar dan guru,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jual beli 90.83% saham Titisan Modal adil dan munasabah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Tindakan Kumpulan Perangsang Sdn Bhd menjual 90.83 peratus saham milik anak syarikatnya, Titisan Modal (M) Sdn Bhd kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan nilai RM78.05 juta adalah adil dan munasabah.

Memetik laporan The Edge, dalam kenyataan Perangsang kepada Bursa Malaysia semalam, Crowe Horwath Advisory Sdn Bhd berkata, ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasional dan penilaian transaksi.

Katanya, transaksi Titisan Modal dinilai pada kadar 1.05 kali ganda daripada perspektif ratio ‘price-to-book’ iaitu 0.94 kali ganda lebih tinggi daripada penilaian dibuat Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) and Air Selangor.

empangan-selangor-sept-3“Kami berpendapatan pertimbangan penjualan itu adil dan munasabah atas dasar terdapat sedikit premium bernilai 4.8 peratus berbanding nilai saham pelupusan,” kata Crowe Horwath.

Titisan Modal memiliki 100 peratus Konsortium Abass Sdn Bhd yang memiliki konsesi 30 tahun di bawah skim pembekalan air Sungai Semenyih.

Crowe Horwath berkata, penjualan itu juga tidak akan menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti Kumpulan Perangsang.

“Kami mencadangkan pemegang saham minoriti Kumpulan Perangsang mengundi cadangan itu pada mesyuarat agung luar biasa, pada 9 Disember ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor peruntuk RM1.7 juta tanggungjawab masyarakat

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 SEPT : Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), memperuntukkan dana sebanyak RM1.7 juta bagi melaksanakan program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS).

Pelaksanaan RTMS terbahagi kepada 3 bahagian iaitu, aktiviti keagamaan, sumbangan kebajikan dan kerjasama strategik dengan Badan Bukan Kerajaan dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan

Pengurus Kanan, Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, Perangsang Selangor menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM35,500 kepada 10 orang penerima.

DSC_8271 (1500x863)“Antaranya terdiri daripada pertubuhan kebajikan sekolah, masjid serta Badan Bukan Kerajaan dengan harapan sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu dan menjayakan program-program kemasyarakatan.

“Sumbagan diterima Yayasan Amal Malaysia sebanyak RM5,000, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia RM5,000, Pusat Jagaan Nur Hasanah RM5,000, Sekolah Agama Rakyat Darul Muhajirin RM3,000 dan Persatuan Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia RM3,000,” katanya.

Katanya, Pusat kebajikan lain yang menerima sumbangan adalah Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Suci Rohani RM3,000, PIBG SK Taman KOSAS RM3,000, Masjid Al-Mustaqim Bandar Sri Putra RM3,000, Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal Malaysia RM3,000 dan Kelab Kebajikan Nur Isaniah Selangor RM2,500

Selain RTMS, Perangsang Selangor juga menjalankan inisiatif Rangsangan Sukan Selangor (RSS) dan Rangsangan Pembangunan Usahawan Selangor (RPUS) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta setahun.

EZY

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor cari bakat muda lumba basikal

SHAH ALAM 11 SEPT: Peminat sukan lumba basikal, berumur antara 13-15 tahun, berpeluang menyertai klinik basikal secara percuma dalam program Sekolah Sepeda Bijak (SSB) ditaja Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).
Penolong Pengurus, Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Ismail Zam Zam berkata program ‘Sukan Untuk Semua’ mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor, Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS) serta Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

SMK KSgor“Program SSB merupakan sebahagian daripada agenda Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor yang dilancarkan Mac tahun ini.

“Pelumba basikal memenuhi kriteria pemilihan juga berpeluang diserap sebagai pelapis pasukan lumba basikal Selangor” kata Ismail.

Ismail berkata sejak Mei 2014, seramai 145 pelajar dari lima buah daerah terlibat dalam program ini.

Pelajar terlibat dari SMK Jugra, Banting, Kuala Langat (40), SMK Shahbandaraya, Klang (31), SMK Bestari Hebat, Hulu Selangor (18), SMK Seksyen 24, Shah Alam (22) dan SMK Kuala Selangor (34).

“Sehingga kini, Perangsang Selangor membiayai kos penajaan sebanyak RM26,000 bagi menjayakan program SSB,” katanya.

Program SBB dibimbing dua orang jurulatih profesional, Mohd Mahadzir Hamad, bekas pelumba basikal Selangor dan Malaysia, Hadi Putra Ismail, bekas Pelumba Selangor dan dibantu oleh Mohd Sabri Md Taib daripada Persatuan Berbasikal Selangor.

Mohd Mahadzir ketika ditemui berkata antara aktiviti dilaksanakan seperti Pengenalan Basikal Penunggang dan Pelumba, Teknologi Tunggangan dan Pra-Ujian Kecergasan bertujuan untuk memberi pendedahan dan mencungkil bakat baharu di kalangan kanak-kanak belasan tahun.

“Klinik basikal juga menunjuk ajar pelajar mengenai teknik, peralatan dan disiplin berbasikal dan sekali gus memupuk minat mereka untuk menceburi sukan lumba basikal.

“Bagi fasa seterusnya, Perangsang Selangor mencadangkan kepada PBNS memilih 35 pelajar diserap ke SBB peringkat lanjutan dan dilatih sebagai skuad pelapis pelumba basikal Selangor,” katanya.

Program ini juga telah menarik perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) yang hadir pada siri ke-5 yang telah diadakan di Kuala Selangor.

Graham Seers (2)Jurulatih Program Basikal Kebangsaan Malaysia, Graham Seers berkata, di Malaysia terdapat dua buah negeri sahaja aktif membangunkan atlet remaja berbasikal, salah satunya Selangor.

“Saya mungkin mempertimbangkan memilih 5 atlet skuad SSB Lanjutan mara ke Bukit Jalil sebagai pelatih atlet lumba basikal remaja Malaysia,” katanya.

Seers akan memilih 5 bakat muda menyertai skuad pelumba basikal remaja Malaysia

Program seterusnya, pada September ini diadakan di SMK Taman Melawati, Gombak dan SMK Sungai Rawang, Sepang.

Pelajar berminat boleh berhubung dengan Sabri di talian 012-4845996 atau Mahadzir 019-2885633.

EZY