Categories
NASIONAL

Perintah Perlindungan Kecemasan lindungi mangsa keganasan rumah tangga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan cadangan supaya pihak polis diberi kuasa untuk mengeluarkan ‘Perintah Perlindungan Kecemasan’ kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan berkenaan wajar dilaksanakan bagi mengurangkan risiko keganasan membabitkan isu kekeluargaan kini.

“Menteri wajar mempertimbangkan bidang tugas dan kemahiran yang sedia ada pada Pegawai Kebajikan Masyarakat, dan mempertimbangkan opsyen untuk memberi kuasa kepada polis mengeluarkan (perintah) walaupun tanpa persetujuan mangsa.

“Asalkan polis mempunyai asas kukuh bahawa mangsa terdedah kepada risiko keganasan rumah tangga, pihak polis boleh mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan itu.

PARLIMEN MALAYSIA“Perintah itu sewajarnya berkuat kuasa mulai masa dan tarikh ia dikeluarkan,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga Pindaan (2) di Dewan Rakyat, pada 25 Julai lalu.

Dalam perkembangan sama, ,Mohamed Azmin berkata, pindaan Rang Undang-Undang Keganasan juga perlu menyatakan had tempoh kesesuaian penahanan pelaku sebelum prosiding perundangan dijalankan.

Beliau berkata, prosedur sedia ada masih gagal menyatakan tempoh sebenar bagi tindakan perundangan selanjutnya.

Selain itu katanya, penggubalan perundangan sedia ada juga perlu dilakukan sebagai jaminan pengukuhan institusi kekeluargaan negara ini.

“Saya juga mensyorkan Kementerian untuk mengemaskini dokumen Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga, iaitu garis panduan bersama agensi-agensi penguatkuasaan.

“Pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga ini adalah langkah penting untuk menjamin keharmonian institusi kekeluargaan,” katanya.

=EZY=