Categories
SUKANKINI

Piala Malaysia: PKNS FC hampa tewas 2 – 3 kepada Felda United

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR JENGKA, 2 OGOS: PKNS FC gagal mengekang kemaraan Felda United apabila tewas 2 – 3 di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, malam tadi.

Meskipun perlawanan Piala Malaysia ini tidak lagi bermakna bagi Semut Merah namun cabaran hebat tetap diberikan kepada pasukan tuan rumah.

Malah PKNS FC mendahului lawan pada separuh masa pertama dengan jaringan gol Bobby Gonzales pada minit ke-31 melalui percubaan tetap yang mengejutkan skuad dibimbing B Satiananthan.

Gol itu merubah persembahan kedua-dua pasukan dengan serangan pantas dilancarkan bagi mencari jaringan terutama tuan rumah.

Selepas ketinggalan, The Fighters bermula garang dalam babak kedua dengan serangan pantas dan gol dicari dihasilkan penyerang import, Ifedayo Patrick Omosuyi pada minit pertama perlawanan.

Permainan menjadi kian rancak hingga berlaku beberapa kekasaran dilakukan pemain dan memaksa pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab, bekerja keras.

Nazrin Syamsul Bahri (m60) memghidupkan harapan Semut Merah dengan gol melalui tendangan penalti untuk mendahului 2 – 1 tetapi hanya bertahan sementara dengan Felda United membalas dua gol selepas itu.

Ketua pasukan, Shukur Adan (m73) menjaringkan gol dengan satu tandukan tepat diikuti Ifedayo seminit kemudian buat pasukan tuan rumah kembali mendahului.

PKNS FC yang membariskan ramai pemain simpanan cuba bangkit dalam baki perlawanan tetapi keputusan kekal hingga ke akhir.

Dengan itu, Semut Merah kekal ditangga terbawah Kumpulan B dengan satu mata manakala Felda United (sembilan) di tempat kedua.

=EZY=