Categories
SELANGOR

‘Recyle’ bangunan kerajaan, Vetmart jana pendapatan usahawan tempatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 24 OGOS: Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Jabatan Perkhidmatan Selangor (Vetmart) cawangan Parit Baru, di sini, dibuka sebagai inisiatif menempatkan produk usahawan kecil, di peringkat akar umbi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pembukaannya juga diyakini mampu menjana pulangan pendapatan kepada pengusaha produk tempatan.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mencari ruang supaya pengusaha tempatan mudah memasarkan produk yang dikeluarkan mereka.

“Salah satu usaha yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan mengubahsuai bangunan kerajaan yang tidak digunakan lagi dan menjadikannya sebagai Vetmart.

VETMART (2)“Kini, pengusaha industri asas tani di kampung ini dan kawasan sekitarnya mempunyai pilihan pemasaran untuk menghantar produk masing-masing ke Vetmart,” katanya pada Majlis Perasmian Vetmart Parit Baru, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Akma Ngah Hamid dan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Sabak Bernam, Nurul Husna Aziz.

Difahamkan, ia adalah premis ketiga pembukaan Vetmart dilancarkan selepas perasmian cawangan Sungai Nibong dan Sijangkang.

Zaidy berkata, masyarakat perlu mengambil manfaat daripada pembukaan premis baru itu untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan hasil usahawan kecil dan sederhana.

“Saya memyeru orang ramai dan ahli masyarakat di kawasan ini untuk menyokong usaha itu bagi membantu pengusaha industri asas tani tempatan dengan menjadikan Vetmart sebagai lokasi beli-belah penduduk.

“Pengusaha tempatan juga perlu bijak menggunakan peluang ini untuk memasarkan produk niaga, di samping mengadakan perbincangan dengan operator supaya lebih banyak produk pengusaha dipasarkan,” katanya.

Terdahulu, Zaidy turut menurunkan tanda tangan pada papan tanda rasmi sebagai simbolik perasmian pembukaan premis niaga itu.