Categories
NASIONAL

Runding semula, batal projek mega sekiranya Pakatan perintah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pakatan Harapan (Pakatan) akan mengadakan rundingan semula projek mega yang sedang dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya Pakatan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Pengerusi Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan juga sedia mengkaji membatalkan perjanjian dimeterai Najib sekiranya mendapati projek terlibat bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang terlalu besar bagi tempoh panjang.

“Banyak projek ini silap dan tak perlu. Kita perlu runding balik. Malah kita batalkan beberapa projek tetapi perlu bayar pampasan untuk mengelakkan keadaan lebih buruk membabitkan 200 bilion dolar pinjaman kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum yang membicarakan isu pelaburan China di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, malam tadi.

Jelasnya, kerajaan bakal menanggung hutang lebih 50 tahun sekiranya kerajaan meneruskan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan sekaligus membebankan kerajaan dan rakyat.

Katanya, pada masa ini negara tidak memerlukan projek keretapi berkelajuan tinggi bagi menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung.