Categories
SELANGOR

Salah wali ‘kahwin sindiket’, punca batal nikah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pasangan yang ingin berkahwin diingatkan supaya menggunakan saluran betul di bawah Jabatan Agama Islam Negeri untuk mendapat sijil nikah yang diiktiraf.

Pendaftar Kanan Pegawai Tadbir Agama Daerah (Klang), Jamali Mohd Adnan merujuk beberapa kes pasangan yang mengambil jalan mudah menggunakan sindiket dari luar terutama di sempadan Thailand untuk berkahwin.

Beliau berkata, senario berkenaan boleh menimbulkan keraguan berhubung status perkahwinan dan taraf nisab (sah) anak mereka.

“Ada pasangan berkahwin menggunakan kaedah sindiket yang mana pasangan itu kini sudah mempunyai tiga anak dan dikesan berkahwin dengan wali yang salah.

“Walinya atuk sebelah ibu (pasangan ibu), dalam konteks agama wali mestilah sebelah bapa.

“Dalam kes ini terpaksa kita nikahkan semula pasangan itu dan ketiga anaknya perlu dinasabkan semula,” katanya dalam sidang Meja Bulat Memahami Isu Anak Tidak Sah Taraf di Universiti Selangor (UNISEL).

Terdahulu, wujud persoalan umum dalam kalangan masyarakat berhubung pemahaman sebenar istilah ‘Anak Tidak Sah Taraf’ yang dilaporkan media sebelum ini.

IMG_20170810_124315Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman memaksa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Dalam kes berkenaan, Hakim Datuk Abdul Rahkmah Sebli ketika prosiding penghakimannya berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.

Beliau berkata, bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Rahman berpendapat fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak dapat membentuk asas perundangan bagi Ketua Pengarah JPN memutuskan tentang nama bapa anak luar nikah mengikut Seksyen 13A (2) BDRA, lapor Bernama.