Categories
SELANGOR

Selaras bidang kuasa Islam seluruh negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 OGOS : Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zulkifli Hasan optimis isu membabitkan hal ehwal Islam seluruh negeri boleh diseragamkan tanpa mengikut pengasingan fatwa dan mufti negeri.

Beliau berkata, pelbagai usaha ke arah keseragaman itu giat dilaksanakan di peringkat Persekutuan meliputi kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud beberapa isu kerana bidang kuasa hal ehwal Islam termaktub di bawah negeri walaupun Muzakarah Fatwa Kebangsaan diwujudkan untuk menyeragamkan fatwa mufti.

“Ia termasuk wujudnya beberapa sentimen dalaman antara pentadbiran negeri di peringkat Persekutuan dan berkait peruntukan undang-undang Islam negeri serta fahaman juga padangan politik pentadbir negeri tertentu.

“Namun, ada beberapa negeri (positif) ke arah pelaksanaan usaha itu dan bersedia merealisasikannya,” katanya ketika sesi Sidang Meja Bulat Memahami Isu Anak Tidak Sah Taraf di Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.

Program berkenaan dianjurkan Institut Maqasid Syariah (INSMAQ) Pusat Kecermelangan UNISEL dengan kerjasama Jawatankuasa Induk Majlis Wanita Prihatin UNISEL.

Ia turut menampilkan Pengarah Institut Halal Antarabangsa Pusat Kecermelangan UNISEL, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Yaakub dan Pendaftar Kanan Pegawai Tadbir Agama (PAID), Jamali Mohd Adnan.